BEKALAN makanan untuk penduduk yang terjejas di kawasan Temco di Amanjaya Sungai Petani sudah mula diagihkan. FOTO ihsan Pembaca
BEKALAN makanan untuk penduduk yang terjejas di kawasan Temco di Amanjaya Sungai Petani sudah mula diagihkan. FOTO ihsan Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


SEJAK semalam, bantuan makanan dan barang keperluan sudah diagihkan kepada penduduk terbabit di Amanjaya, Sungai Petani yang terbabit Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco).

Seramai 22,360 isi rumah di zon Kenanga, Mawar dan Melur, Amanjaya terbabit Temco yang bermula Jumaat lalu.

Pengarah JKM Kedah, Azmi Abdul Karim berkata, bantuan mula diagihkan semalam secara berperingkat oleh 80 pegawai dan pengagihan dijangka selesai dalam tempoh tiga hari.

"Sebanyak 17 barang keperluan makanan diagihkan kepada penduduk untuk kegunaan mereka sepanjang tempoh Temco ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, penduduk Zon Kenanga, Ahmad Naufal Abdullah berkata, sebahagian penduduk di kawasan itu sudah menjalani ujian calitan, hari ini dan memakai gelang merah jambu.

Katanya, hanya ketua keluarga dibenarkan keluar untuk membeli barang keperluan dalam jarak satu kilometer dari rumah.

"Tetapi banyak kedai runcit di kawasan ini tutup. Kami bersyukur kerana bantuan makanan sudah mula dihantar. Alhamdulillah," katanya.

Dia mengakui kawalan ketat pihak berkuasa menyebabkan penduduk akur dan berada di rumah masing-masing dengan tenang sehingga tempoh Temco berakhir.

Pelaksanaan Temco di kawasan itu yang bermula jam 12.05 tengah malam kelmarin sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak merangkumi 265 rumah yang mempunyai 22,360 isi rumah.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 6:25 PM