MUHD Nur Syam Asmawie (tengah) bersama pegawai dan anggota APMM membuat persiapan mengibarkan Jalur Gemilang di Kapal KM Tok Bali. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MUHD Nur Syam Asmawie (tengah) bersama pegawai dan anggota APMM membuat persiapan mengibarkan Jalur Gemilang di Kapal KM Tok Bali. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


AURA bulan kemerdekaan turut disambut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan memasang Jalur Gemilang di bot peronda mereka.

Jalur Gemilang turut dipasang di kapal KM Tok Bali yang baharu diguna awal Ogos lalu bagi menyemarakkan rasa cintakan negara terutama dalam menjalankan tugasan berkaitan menjaga kedaulatan perairan negara.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, sejak 6 Ogos lalu anggotanya sudah memasang beberapa bendera Jalur Gemilang selepas pelancaran dibuat Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

"Memang setiap tahun Jalur Gemilang akan dipasang kerana tugas kami sentiasa di laut dan sekurang-kurangnya apabila melihat Jalur Gemilang ini berkibar dapat menaikkan lagi semangat untuk terus mengawal perairan negara daripada diceroboh pendatang asing.

"Kami tak akan biarkan kawasan laut kosong tanpa pemantauan dan tiada istilah cuti bagi kami kerana ancaman penjenayah sentiasa ada bila-bila masa menyebabkan kami perlu sentiasa bersiap sedia," katanya ketika ditemui di atas kapal KM Tok Bali ketika membuat pelayaran bersama pengamal media di perairan Tok Bali, Pasir Puteh, semalam.

PEGAWAI dan anggota APMM Kelantan membuat persiapan memasang Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 ketika menaiki kapal KM Tok Bali. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PEGAWAI dan anggota APMM Kelantan membuat persiapan memasang Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 ketika menaiki kapal KM Tok Bali. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Kapal KM Tok Bali dilengkapi selaras meriam Aselsan SMASH 30mm jenis Remote Controlled Stabilised Weapon Station yang akan digunakan sekiranya diperlukan atau menerima ancaman penjenayah.

Dalam pelayaran separuh hari itu, pengamal media turut diberikan peluang mencuba latihan menembak seperti dilakukan anggota APMM secara berkala iaitu menggunakan beberapa senjata seperti M16, GPMG, UMP, CZ Compact dan Riffle HK 416.

Muhd Nur Syam Asmawie berkata, pihaknya sentiasa melakukan latihan menembak bagi memantapkan kemahiran dan pengalaman untuk melepaskan tembakan di laut.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bersedia dalam apa jua modus operandi akan digunakan penjenayah dan memastikan kru serta anggota kapal dalam keadaan siap siaga menghadapi kejadian tidak diduga.

"Kami bukan agensi ganas, tapi kami menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan prosedur menangani satu tindak balas (ROE) yang ada.

"Kami adalah 'peace keeper' dan berpegang kepada moto 'Mengawal, Melindung dan Menyelamat cuma apabila (bot nelayan asing) disedari masuk ke perairan negara dan ditahan, mereka perlu beri kerjasama bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 7:41 PM