Mohd Zaid Che meninggal dunia di sisi keluarga. FOTO NSTP
Mohd Zaid Che meninggal dunia di sisi keluarga. FOTO NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


LELAKI yang menderita penyakit buah pinggang, masalah hati dan tiga serangkai meninggal dunia di sisi isteri dan anak-anaknya pada jam 8.30 malam tadi di rumahnya di Kampung Semut Api, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.

Menurut isterinya, Nur Hapidah Ahmad, 41, tiga hari lalu, arwah suaminya, Mohd Zaid Che Badrolddin, 46, dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II kerana mengalami sesak nafas, namun pada hari yang sama, arwah meminta kebenaran untuk pulang dan berehat di rumah.

"Bagaimanapun pada petang semalam, anak ketiga, Nur Ainun Wasilah Mohd Zaid, 15, menghubungi saya supaya segera pulang ke rumah kerana arwah memanggil serta mencari saya di dalam kawasan sekitar rumah.

"Selepas menerima panggilan telefon daripada Nur Ainun, saya dan anak kedua, Che Nur Arina, 18, yang ketika itu berada di luar kerana menyelesaikan beberapa urusan segera pulang ke rumah dan arwah ada meminta supaya saya dan anak-anak sentiasa berada di sisinya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nur Hapidah berkata, sebelum arwah suaminya meninggal dunia, Nur Ainun berasa pelik kerana tidak mendengar suara ayahnya yang sentiasa memanggil anak datang ke sisi.

"Saya kemudian melihat keadaan arwah suami dan pada ketika itu jugalah Nur Ainun memberitahu nafas arwah terlalu laju selain mulut serta kuku tangan dan kakinya sudah bertukar kebiruan sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir.

"Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya walaupun sedih menerima ketentuan Ilahi, namun saya reda.

"Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol pada jam 12 tengah hari tadi dengan dihadiri ahli keluarga terdekat dan juga jiran tetangga," katanya dalam nada sebak.

Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan Mohd Zaid yang bekerja sebagai tukang paip untuk menyara keluarga terpaksa berhenti kerja sejak Disember tahun lalu disebabkan tahap kesihatannya semakin merosot.

Arwah disahkan menghidap penyakit buah pinggang pada Februari lalu dan lebih menyedihkan dia juga menderita penyakit saraf, kencing manis, darah tinggi dan masalah hati.

Berita berkaitan

Seksanya menderita pelbagai penyakit [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 5:23 PM