TULAR mengenai saman baru JPJ sejak beberapa hari lalu. FOTO NSTP
TULAR mengenai saman baru JPJ sejak beberapa hari lalu. FOTO NSTP
Hasbi Sidek


KADAR bayaran kompaun baharu bagi saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula bulan ini yang ditularkan sejak beberapa hari lalu adalah maklumat tidak betul.

Maklumat yang ditular mendakwa antara kesalahan yang bakal dikenakan tindakan saman adalah menghalang kenderaan dan memotong; memandu perlahan di lorong kanan dan memandu van atau lori melebihi lapan jam.

JPJ dalam satu kenyataan di laman Facebook (FB) berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengenai kadar bayaran saman dan jenis kesalahan seperti yang ditularkan.

“JPJ ingin merujuk kepada mesej ‘sebelum duit anda melayang’ yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp, kami ingin menegaskan mesej atau kenyataan itu tidak benar dan tidak pernah dikeluarkan JPJ.

“JPJ ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai sebarang mesej melalui aplikasi WhatsApp yang tidak mempunyai sumber sahih dan menyebarkannya sebelum pengesahan dilakukan dengan JPJ,” katanya.

Beberapa hari lalu tular mesej mengenai kadar baru bayaran saman JPJ bermula Februari. Antaranya berbunyi ‘SHARE- info terkini dari JPJ / Sebelum Duit Anda Melayang. Mulai tahun 2019 .. Bulan FEBRUARI.. saman JPJ adalah seperti berikut.

“1) Menghalang kereta lain & memotong - RM300; 2) Memandu perlahan di lorong kanan - RM150; 3) Menyimpan batang kayu, batang besi, pisau & lain² objek bahaya dalam kereta - RM100; 4) Isi minyak tanpa matikan enjin - RM100”.

Di akhir teks berkenaan turut meminta orang ramai supaya berkongsi maklumat berkenaan dengan individu lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 2:59 PM