Amir Abd Hamid


PERKARA berkaitan penubuhan Majlis Khas untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dibawa ke Kabinet dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, Majlis Khas terbabit adalah forum khusus untuk membincangkan dan memantau keseluruhan MA63 bersama kerajaan Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, kerajaan dalam proses akhir memuktamadkan komposisi penubuhan Majlis Khas berkenaan.

"Selain daripada itu, satu jawatankuasa bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak sudah ditubuhkan untuk membincangkan isu minyak dan gas serta pemberian khas.

"Perdana Menteri sudah memberi mandat kepada Menteri Kewangan dan Menteri Kanan (Kerjaraya) bagi membincangkan isu terbabit bersama kerajaan Sarawak dan Petronas bagi mencapai penyelesaian secara komersial.

"Berdasarkan makluman yang diterima, perbincangan dengan (kerajaan) Sabah akan menyusul selepas ini," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

PERSIDANGAN Dewan Rakyat (gambar arkib). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PERSIDANGAN Dewan Rakyat (gambar arkib). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang meminta kerajaan menyatakan usaha untuk mewujudkan jawatankuasa khas bagi meneruskan perbincangan berhubung penyelesaian komersial dalam tuntutan hak minyak dan gas Sarawak.

Mengenai status semasa 17 daripada 21 perkara dalam Jawatankuasa Khas Kabinet MA63, Hanifah Hajar, berkata agensi bertanggungjawab memerlukan tempoh antara satu hingga dua tahun untuk melaksanakan keputusan berkenaan.

Hanifah berkata, baki empat lagi perkara yang belum selesai seperti royalti minyak, mineral minyak, Akta Laut Wilayah 2012 dan Akta Pelantar Benua, akan terus dibincangkan dalam Majlis Khas yang ditubuhkan kelak.

"Majlis Khas ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, dan turut dianggotai Ketua Menteri Sarawak dan Sabah, menteri Kabineti serta wakil dari kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

"Kerajaan berpandangan penubuhan Majlis Khas ini adalah memadai buat masa ini dan tiada keperluan untuk Jawatankuasa Parlimen ditubuhkan (seperti yang dicadangkan sebelum ini)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 11:51 AM