Anggota Bomba berusaha mengeluarkan seekor penyu yang terperangkap dibawah pokok di Pantai Labohan Kerteh. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota Bomba berusaha mengeluarkan seekor penyu yang terperangkap dibawah pokok di Pantai Labohan Kerteh. FOTO IHSAN BOMBA
Rosli Ilham


SEEKOR penyu agar ditemui terperangkap di bawah timbunan pokok tumbang di kawasan Cakar Hutan, Kampung Labohan, Kemaman, hari ini.

Penyu betina seberat kira-kira 100 kilogram itu ditemui terperangkap oleh seorang pekerja pusat santuari penetasan penyu ketika sedang melakukan pemeriksaan rutin pada 8 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh, Timbalan Penguasa Bomba Khairulhasni Mokhtar berkata, penyu itu dikatakan masuk ke bawah rimbunan pokok yang tumbang itu untuk bertelur.

Menurutnya, sebaik selesai bertelur, penyu itu menimbus telurnya yang menyebabkan laluan keluar tertutup sepenuhnya.

"Pekerja pusat terbabit cuba mengeluarkan haiwan itu, namun gagal sebelum menghubungi bomba.

"Seramai 10 anggota bergegas ke tempat kejadian dan membuat laluan keluar dengan memotong pokok berkenaan dengan menggunakan peralatan memotong kayu.

"Penyu itu berjaya dikeluarkan tanpa kecederaan sebelum dilepaskan semula ke laut dan operasi tamat pada 10 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 7:35 PM