Dr Zulkifli (kanan) bersama Pengetua Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Abd Halim Saljadi melihat keadaaan asrama yang terbakar di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat Banting. FOTO BERNAMA
Dr Zulkifli (kanan) bersama Pengetua Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Abd Halim Saljadi melihat keadaaan asrama yang terbakar di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat Banting. FOTO BERNAMA
Oleh Norzamira Che Noh


KERAJAAN akan mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan latihan kebakaran di semua sekolah-sekolah tahfiz yang berdaftar di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

berkata, cadangan itu dilihat bersesuaian untuk dilaksanakan pada masa kini sebagai persediaan pelajar berdepan kemungkinan berlakunya kebakaran.

"Saya juga rasa sudah tiba masanya sekolah tahfiz berhubung dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menjalankan program sekolah anak angkat bersama mereka.

"Sekurang-kurangnya, pelajar akan mendapat latihan asas sekiranya berlaku kebakaran," katanya.

Zulkifli berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Istana Bandar Kuala Langat yang terbakar pagi Selasa lalu.

Katanya, pihaknya sedih dengan kejadian itu dan Kerajaan Persekutuan akan membantu seadanya bagi mengurangkan bebanan pengurusan sekolah tahfiz berkenaan.

"Pihak sekolah juga boleh mengemukakan permohonan dan kita akan berganding bahu dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama beberapa agensi agama peringkat negeri dan pusat untuk membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 8:22 PM