Asrizal Aris

 

LEBIH RM1,200 dikumpul oleh 300 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Umar Abdul Aziz, Masjid Negara untuk disumbangkan kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, hari ini.

Guru besar sekolah itu, Jamaluddin Osman, berkata, usaha itu adalah inisiatif dan cadangan daripada murid yang diketuai oleh ketua pengawas.

"Kami memaklumkan kejadian kebakaran di pusat tahfiz itu di dalam perhimpunan sekolah Isnin lalu dan ternyata ramai murid berbincang sesama sendiri untuk mengumpul sumbangan.

"Hal ini menunjukkan bahawa nilai murni yang diajar di sekolah menyerap masuk ke dalam jiwa kanak-kanak ini untuk merasai kesedihan yang dialami keluarga mangsa," katanya ketika ditemui di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, hari ini.

Menurutnya, dia teruja apabila kanak-kanak sudah boleh berfikiran untuk membuat amal kebajikan dengan merancang sendiri proses kutipan itu.

"Kami guru-guru hanya sebagai pemegang amanah untuk menyimpan sumbangan yang dikutip dan membawa mereka ke sini (tempat kejadian) untuk mereka serahkan sendiri sumbangan berkenaan kepada pihak pusat tahfiz.

"Hanya beberapa wakil saja yang dibawa hari ini sebagai tanda sokongan moral kepada keluarga adik dan abang mereka (pelajar terkorban) yang syahid," katanya.

Menurutnya, usaha itu sedikit sebanyak menjadi contoh dan iktibar kepada pelajar sekolah lain untuk bersama-sama berkongsi kesedihan yang dialami oleh keluarga mangsa.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 8:16 PM
Guru dan murid SRA Umar Abdul Aziz bergambar dengan wakil Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. FOTO Asrizal Aris
Guru dan murid SRA Umar Abdul Aziz bergambar dengan wakil Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. FOTO Asrizal Aris