Nurul Amanina Suhaini


BEKAS Timbalan Pengurus Besar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan denda RM766,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan menerima suapan.

Tertuduh, Noor Hisyam Mohd Abdullah Hashim, 46, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan serentak di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Kamarudin menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan itu dan memerintahkan ia berjalan serentak bermula hari ini.

Tertuduh juga boleh dihukum penjara 32 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Noor Hisyam didakwa menggunakan jawatannya ketika itu untuk mendapatkan suapan keseluruhan RM153,200 sebagai balasan memperakukan tuntutan kemajuan kerja sebuah syarikat di Pejabat Jabatan Landskap UEM Sunrise Berhad di Iskandar Puteri, antara 10 Februari 2016 hingga 15 Februari 2017.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Suhaili Sapun, manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Aizat Fakri dan Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan ia berjalan serentak bermula hari ini.

NOOR Hisyam (dua, kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. FOTO Bernama.
NOOR Hisyam (dua, kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. FOTO Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 12:45 PM