PLAZA tol Sungai Besi. FOTO arkib NSTP
PLAZA tol Sungai Besi. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


KERAJAAN tidak tergesa-gesa membuat sebarang keputusan berhubung cadangan penghapusan tol kerana memerlukan kajian lanjut dan membabitkan kepentingan pelbagai pihak termasuk pemegang konsesi.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketika ini kerajaan mempunyai keutamaan lain daripada segi keperluan kewangan yang perlu ditangani disebabkan kesan pandemik Covid-19.

"Kerajaan teliti dan ambil kira dengan mendalam faktor implikasi yang akan timbul jika penghapusan tol dilakukan khususnya kewangan semasa yang dihadapi oleh kerajaan ketika ini.

"Sehubungan dengan itu, hala tuju lebuh raya bertol akan disemak semula dan memorandum Jemaah Menteri akan dibentangkan bagi mendapat kelulusan menteri," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong berkaitan kementeriannya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab persoalan Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) berhubung perancangan kerajaan bagi membanteras kesesakan Plaza Tol Gombak pula, Fadillah (GPS-Petra Jaya) memberitahu kapasiti sedia ada boleh menampung kapisiti pada waktu puncak.

Namun, Fadillah tidak menafikan bahawa kapasiti luar biasa akan berlaku di plaza tol berkenaan ketika musim perayaaan dan cuti sekolah.

"Kapasiti sedia ada pada waktu puncak harian bagi Plaza Tol Gombak hala barat ke Kuala Lumpur adalah 126,000 pengguna berbanding kapisiti penuh adalah 158,000 dan sepatutnya masih boleh menampung trafik pada waktu puncak.

"Untuk makluman, waktu perayaan akan mencecah sehingga 180,000 sehingga 200,000 iaitu hampir sekali ganda trafik harian kerana kemampuan kita sehingga 158,000.

"Sebab itulah, kesesakan (teruk) berlaku hanya pada waktu perayaan... pada hari-hari biasa masih mampu ditampung," katanya.

Berdasarkan pemerhatian, katanya, kesesakan berlaku di Plaza Tol Gombak dari arah Kuala Lumpur disebabkan limpahan trafik apabila pertembungan simpang berlaku di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Sementara itu, Fadilah memberitahu pihaknya kini sedang melaksanakan kajian bagi melaksanakan lebuh raya alternatif di antara Gombak ke Bentong dalam menyelesaikan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK).

"Untuk tentukan jajaran baharu atau naik taraf jalan sedia ada, kita ambil kira pelaksanaan cadangan projek termasuk impaknya terhadap alam sekitar dan sosial yang boleh mendatangkan manfaat kepada rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 7:04 PM