Dari kiri, Mohd Fuad, Zainudin,  Aziz, Lim, Zakaria dan A Azmi   pada sidang media.
Dari kiri, Mohd Fuad, Zainudin, Aziz, Lim, Zakaria dan A Azmi pada sidang media.
Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Tiada lagi lorong tunai disediakan di plaza tol sekitar pusat bandar raya bermula 9 September depan bagi memberi ruang kepada pelaksanaan kutipan tol secara elektronik, sekali gus menjadi penyelesaian kepada masalah kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

Sistem tol elektronik sepenuhnya itu membabitkan tiga konsesi lebuh raya iaitu Syarikat Mengurus Air dan Terowong Sdn Bhd (SMART), Lebuhraya Bertingkat Ampang - Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE) bermula jam 12 tengah hari pada tarikh yang ditetapkan.

Antara plaza tol terbabit adalah Terowong SMART (Sungai Besi), Datuk Keramat (AKLEH), Batu (DUKE), Ayer Panas (DUKE) dan Sentul Pasar (DUKE).

Timbalan Ketua Pengarah (Bisnes) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Seri Aziz Abdullah berkata, langkah berkenaan selari dengan inisiatif kerajaan bagi menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik yang mudah dan selesa serta membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar di setiap plaza tol.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan pengurangan kesesakan trafik 30 peratus pada waktu puncak selepas pelaksanaan sistem berkenaan, sekali gus menjimatkan masa pengguna untuk tiba ke destinasi dituju.

“Orang ramai tidak perlu risau sekiranya masih belum memiliki kad Touch ‘n Go kerana semua syarikat konsesi terbabit akan mengedarkan 30,000 kad berkenaan secara percuma tapi pengguna perlu membayar nilai kredit RM5.

“Sementara di Lebuhraya AKLEH dan DUKE, SmartTag akan dijual dengan kadar diskaun dan pemberian rebat tol lima peratus kepada pengguna kelas 1 di Lebuhraya DUKE selama tiga bulan,” katanya pada taklimat media AKLEH, DUKE dan SMART Tunnel mengenai pelaksanaan pembayaran tol secara elektronik, di sini, semalam.

Turut hadir pada taklimat berkenaan, Pengarah Urusan Ekovest Berhad Datuk Lim Keng Cheng, Ketua Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Sdn Bhd Ir Datuk Zainudin A Kadir, Pengarah Projek DUKE Zakaria Shaffie, Pengurus Besar Expressway Touch n’ Go A Azmi Jafar dan Ketua Pegawai Operasi SMART Mohd Fuad Kamal Ariffin.

Pada masa sama, lorong tunai di tujuh lagi plaza tol seluruh negara akan dimansuhkan pada tarikh sama iaitu di Jitra, Kedah (PLUS), Bukit Kayu Hitam, Kedah (PLUS), Lunas, Kedah (BKE), Kubang Semang, Pulau Pinang (BKE), Jambatan Pulau Pinang 1, Pulau Pinang (JPP), Gombak, Selangor (KL- KARAK) dan Bentong, Pahang (KL- KARAK).

Sementara itu, Zainudin berkata, syarikat konsesi terbabit juga dalam proses melaksanakan pelbagai langkah persediaan ke arah sistem elektronik berkenaan dengan menarik taraf lorong tunai kepada lorong Touch N’ Go selain melanjutkan waktu urus niaga bagi urusan tambah nilai kepada 24 jam untuk kemudahan pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:26 AM