MOHD Shafei bersama peguam mengadakan perbincangan dengan wakil mangsa baru-baru ini.
MOHD Shafei bersama peguam mengadakan perbincangan dengan wakil mangsa baru-baru ini.
Yusmizal Dolah Aling

"ALHAMDULILLAH, kami berharap proses tuntutan insurans berjalan lancar dan semua mangsa mendapat pembelaan sewajarnya," kata Faridah Abu Bakar.

Dia adalah salah seorang daripada mangsa kebakaran membabitkan 53 motosikal dan 11 kereta di Blok 41, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Kuala Lumpur pada 6 Julai lalu.

Faridah, 50-an, berkata mereka masih terkesan dengan kejadian itu kerana kehilangan kenderaan untuk urusan harian.

Katanya, pertemuan antara mangsa dan peguam yang diaturkan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah, baru-baru ini ternyata melegakan mereka.

"Ini kerana semua mangsa menggunakan motosikal untuk ke tempat kerja serta urusan seharian. Setakat ini, kami sudah menerima bantuan daripada Baitulmal serta YWP.

"Pemilik motosikal masing-masing menerima RM1,000, manakala pemilik kereta menerima RM2,000. Selain itu YWP juga menyumbang RM300 untuk setiap motosikal," katanya.

Sementara itu, Mohd Shafei yang juga Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju berkata, pihaknya terpanggil untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa bagi meringankan beban selain memastikan proses tuntutan berkenaan berjalan mengikut lunas undang-undang.

Katanya, mangsa memerlukan bimbingan untuk membuat tuntutan tanpa perlu bersusah payah melantik peguam dan sebagainya.

"Kita tahu mereka sedang diuji dan kita tidak mahu membebankan mereka. Jadi, kita sediakan khidmat guaman untuk mempercepatkan proses tuntutan insurans ini dan sedaya upaya memastikan mereka mendapat pampasan yang sewajarnya," katanya.

Dalam kejadian 5 pagi itu, kenderaan yang diletakkan di tempat letak kenderaan musnah antara 60 hingga 100 peratus.

Berita berkaitan

Putih mata lihat dua kenderaan rentung dibakar

'Cuba alih kereta, tapi api marak'

53 motosikal, 8 kereta hangus [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 7:24 PM