Gambar tular seorang wanita yang memakai gelang berwarna pink atau ‘wristband’ di luar pekarangan bank dekat Jalan Ong Yi How di Butterworth hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Gambar tular seorang wanita yang memakai gelang berwarna pink atau ‘wristband’ di luar pekarangan bank dekat Jalan Ong Yi How di Butterworth hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Nur Izzati Mohamad

KELIBAT seorang wanita yang memakai gelang berwarna pink atau 'wristband' di luar pekarangan bank dekat Jalan Ong Yi How di Butterworth hingga gambarnya tular di laman sosial disahkan sudah tamat menjalani perintah kuarantin wajib pada hari ini.

Bagaimanapun, tindakannya tidak membuang 'wristband' sebelum ke bank berkenaan mencetuskan ketakutan orang awam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bertindak atas aduan polis menjalankan siasatan ke atas kakitangan bank berkenaan.

"Temubual bersama kakitangan bank terbabit dimaklumkan wanita yang didapati memakai gelang PUS hadir untuk berurusan tetapi dihalang pengawal keselamatan dari memasuki premis berkenaan.

"Pengawal keselamatan itu kemudiannya memanggil pengurus bank dan memaklumkan mengenai perkara berkenaan namun didapati wanita itu sudah meninggalkan premis sebelum mereka sempat mengambil butiran dirinya," katanya dalam satu kenyataan di Butterworth hari ini.

Noorzainy berkata, pihak bank membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengenalpasti wanita itu untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati wanita berusia 25 tahun itu pulang dari Thailand dan menjalani ujian Covid-19 pada 15 Julai lalu yang mana keputusannya negatif.

"Ujian kali kedua yang dilakukan semalam juga turut negatif dan hari ini dia sudah tamat menjalani PUS," katanya.

Berikutan itu, Noorzainy menasihatkan supaya orang awam tidak menularkan berita yang boleh mencetuskan kebimbangan dan kegusaran masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 7:45 PM