ALEXSON NAGA CHABU
ALEXSON NAGA CHABU
Mohd Roji Kawi


POLIS Sarawak mengenal pasti 23 lokasi Op Lancar sempena perayaan Aidiladha dengan kebanyakannya di kawasan bandar utama yang mempunyai jumlah penduduk padat seperti Bandaraya Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, operasi berkenaan bermula Selasa lalu akan dilaksanakan sehingga 3 Ogos ini.

Beliau berkata, Op Lancar diadakan bagi menyurai aliran trafik dan memastikan kelancaran lalu lintas dikawal terutama pada waktu puncak.

"Berikutan perayaan Aidiladha disambut esok, adalah dijangka aliran trafik akan bertambah dan berlaku peningkatan kenderaan di semua jalan raya, terutama di bandar besar di negeri ini.

"Justeru Op Lancar dilaksanakan dengan tumpuan utama operasi itu adalah di 23 lokasi yang dijangka mengalami kesesakan dan juga yg kerap berlaku kemalangan jalan raya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain Op Lancar katanya, polis Sarawak juga akan menguatkuasakan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Op Covid-19 di kawasan tumpuan di seluruh negeri dan juga di lokasi-lokasi persinggahan orang ramai di sepanjang Jalan Pan-Borneo.

"Bagi yang hendak pulang ke kampung sama ada untuk menyambut perayaan Aidiladha atau bercuti, mereka haruslah mematuhi peraturan jalan raya terutamanya memastikan had laju yang ditetapkan.

"Patuhi papan tanda panduan lalu lintas, jangan memandu perlahan di lorong sebelah kanan, elakkan mengekori kenderaan di hadapan dengan jarak yang terlalu rapat, sentiasa amalkan sikap bertimbang rasa kepada pengguna jalanraya yang lain, sentiasa pastikan kenderaan yang digunakan terutamanya yang akan bergerak jauh dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan perjalanan serta rancang jadual dan masa perjalanan dan sekiranya dalam keadaan letih atau mengantuk, cuba ambil masa rehat sekurang-kurangnya 15 minit atau ganti pemandu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 4:32 PM