GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

POLIS Kedah menubuhkan 107 pasukan pemantau di Kedah untuk melakukan pemantauan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan ketika sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha, Jumaat ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah, Senior Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, pemantauan dilakukan di 11 daerah di negeri ini untuk memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, seramai 434 anggota polis terbabit dalam pemantauan ini selain dibantu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kita akan melakukan pemantauan dari rumah ke rumah, tempat penyembelihan ibadah korban, masjid selain kawasan tumpuan orang ramai untuk memastikan mereka mengamalkan penjarakan sosial yang ditetapkan.

"Sebelum ini, pasukan pemantau ini melakukan pemantauan di sekolah serta tempat ibadat, masjid, kompleks beli-belah dan pasar raya untuk memastikan SOP dipatuhi," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, semalam.

KETUA Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah, Senior Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang. FOTO Zuliaty Zulkiffli
KETUA Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah, Senior Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Che Zaimani berkata, premis perniagaan yang gagal menyediakan pemeriksa suhu badan dan mengambil rekod butiran atau My Sejahtera dari pelanggan akan diambil tindakan termasuk kompaun RM1,000.

Beliau berkata, sepanjang sambutan Hari Raya Aidiladha, tetamu hanya dibenarkan 20 orang pada satu masa dan penyembelihan lembu tidak boleh melebihi 10 ekor dan ketika penyembelihan dilakukan, hanya 20 orang dibenarkan berada di kawasan itu.

Katanya, kenduri besar-besaran yang dihadiri ramai orang tidak dibenarkan.

"Sekiranya ada yang ingkar, mereka boleh dikompaun RM1,000 setiap seorang mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

Dalam pada itu, Che Zaimani berkata, kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat adalah penting sekiranya ternampak mereka yang memakai gelang merah jambu (pink) di khalayak ramai supaya menghubungi polis dengan segera untuk memudahkan tindakan diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 9:54 AM