GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis mengekalkan sekatan jalan raya (SJR) di laluan bersempadan Kedah, Pulau Pinang dan Perak bagi mengelak penduduk di zon merah memasuki negeri ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, penduduk negeri jiran yang mahu masuk negeri ini perlu mempunyai surat kebenaran merentas negeri dan hanya yang mempunyai urusan penting sahaja dibenarkan.

Jelasnya, bagaimanapun laluan sempadan Kedah-Perlis dibuka sepenuhnya sejak tengah malam tadi, sebaik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat pada 12 tengah malam.

"Saya tidak nafi kemungkinan ada lorong tikus di kawasan kampung di sempadan Kedah, Pulau Pinang dan Perak, namun kita mempunyai Pasukan Pemantau Khas Covid-19 untuk melakukan pemantauan di kawasan berkenaan.

"Kita tutup laluan utama sahaja, mungkin ada lorong tikus kerana penduduk kampung lebih tahu jalan berkenaan, tetapi kalau jumpa polis, kita akan tahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

MOHD Roze (kanan) menerima tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah daripada Senior Asisten Komisioner Zakaria Haron (kiri) yang memangku sementara tugas itu sebelum ini sambil disaksikan Hasanuddin. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MOHD Roze (kanan) menerima tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah daripada Senior Asisten Komisioner Zakaria Haron (kiri) yang memangku sementara tugas itu sebelum ini sambil disaksikan Hasanuddin. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Mohd Roze yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Risikan/ Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menggantikan Datuk Muhammad Azlee Abdullah yang bersara pada 8 November lalu.

Hasanuddin berkata, beliau menasihatkan penduduk di negeri ini supaya jangan bergerak ke mana-mana sekiranya tidak mempunyai sebarang urusan dan duduk di rumah.

Beliau berkata, walaupun Kedah sudah berada di zon hijau namun penularan wabak Covid-19 boleh berlaku pada bila-bila masa.

"Kalau nak dibandingkan angka jumlah di negeri lain misalnya amat menggerunkan kerana lebih banyak kes dilaporkan setiap hari berbanding di negeri ini.

"Nasihat saya, kalau betul-betul ada urusan barulah keluar, kalau tak ada, duduklah di rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 12:23 PM