GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Melaka: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membenarkan pelaksanaan penyembelihan korban pada Hari Raya Aidiladha tahun ini di masjid dan surau dengan bilangan haiwan korban terhad kepada lima ekor sehari sepanjang tempoh empat hari ibadah korban bermula 20 hingga 23 Julai.

Pengarahnya Datuk Che Sukri Che Mat berkata, bagaimanapun setiap masjid dan surau terlebih dahulu perlu mendapatkan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka yang akan memastikan kesesuaian tempat korban.

"Kami turut menetapkan hanya 25 petugas berdaftar sahaja dibenarkan hadir ke tempat pengurusan korban di masjid dan surau dengan bilangan haiwan korban terhad kepada lima ekor sehari.

"Peserta korban pula tertakluk kepada bilangan lembu yang disembelih iaitu tujuh peserta bagi setiap lembu tetapi tidak melebihi lima ekor lembu pada satu satu hari, jadi sepanjang empat hari ibadah korban dilaksanakan, ia terhad kepada 20 ekor haiwan korban sahaja bagi setiap masjid dan surau yang melaksanakannya," katanya tadi.

Dalam pada itu, Che Sukri turut mengingatkan kesemua masjid dan surau agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan ibadah korban yang dijalankan tahun ini berjalan lancar.

"Memandangkan tiada agihan dibenarkan dalam kawasan masjid dan surau di negeri ini, saya minta jawatankuasa masjid dan surau memainkan peranan dalam proses pengagihan daging korban dari rumah ke rumah yang dikenal pasti oleh jawatankuasa korban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 8:40 PM