Asmah mengalami kecederaan pada muka dan jari tangan kiri akibat dirempuh babi sambil diperhatikan anaknya, Siti Nor Shafiqah Mohd Nor, 32. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Asmah mengalami kecederaan pada muka dan jari tangan kiri akibat dirempuh babi sambil diperhatikan anaknya, Siti Nor Shafiqah Mohd Nor, 32. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


"SAYA trauma untuk menunggang motosikal lagi dan kejadian itu hampir meragut nyawa saya dan anak," kata Asmah Abdullah, ketika ditemui di rumah di Kampung Baru Serada, Kuala Terengganu, hari ini.

Wanita itu bersama anak perempuannya, Siti Nor Hijratul Athirah Mohd Nor, 18, mengalami detik cemas dan hampir maut apabila motosikal dinaiki ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dirempuh babi melintas jalan di Jalan Kampung Baru Serada, 6.45 pagi semalam.

Asmah berkata, dia tidak menjangka babi keluar secara mengejut daripada kawasan hutan sebelum merempuh motosikal dinaiki bersama anak.

"Kami tercampak di atas jalan sebaik sahaja motosikal dirempuh haiwan liar itu.

"Kami bernasib baik kerana kenderaan lain dari arah bertentangan perlahan kerana jika tidak pasti kami dirempuh pula kenderaan terbabit," katanya.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan dia cedera pada muka, jari tangan kiri selain anggota badan.

Katanya, anaknya pula luka pada bahagian kaki selain terseliuh bahu kanan.

"Kami mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dibenarkan pulang.

"Ramai penduduk kampung terbabit kemalangan kerana haiwan liar itu.

"Malah, tiga tahun lalu, anak bongsu, Muhammad Ilyas Mohd Nor, 17, patah kaki kanan kerana dirempuh babi yang berkeliaran di kawasan sama," katanya.

Katanya, sehubungan itu, mereka berharap pihak berkaitan menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah babi di kampung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 5:27 PM