Bangunan Canselori UiTM Shah Alam. FOTO arkib NSTP
Bangunan Canselori UiTM Shah Alam. FOTO arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) akan menjalankan siasatan terperinci dakwaan kebocoran maklumat lebih sejuta pelajar serta alumninya.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, tangkapan skrin yang dipaparkan dalam sebuah laman blog hari ini menunjukkan format maklumat berkenaan tidak digunapakai atau dijana daripada mana-mana sistem dalaman di UiTM.

“Ini menunjukkan bahawa maklumat terbabit diolah dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seterusnya mengesahkan bahawa maklumat itu bukan dijana terus dari sistem UiTM ekoran daripada penggodaman.

“UiTM terus yakin bahawa sistem sedia ada yang digunakan adalah utuh, selamat dan boleh dipercayai. UiTM juga akan menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan bahawa tiada berlaku sebarang salahlaku oleh warga kami.

“Sekiranya didapati bahawa perkara ini berlaku, UiTM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hassan berkata, UiTM memandang serius mengenai keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) universiti itu.

“UiTM mempunyai satu Dasar Keselamatan ICT yang komprehensif serta menyeluruh dan merangkumi pelbagai komponen termasuk perlindungan maklumat rahsia rasmi dan maklumat rasmi daripada capaian tanpa kuasa yang sah.

“Tahap keselamatan ICT UiTM diyakini adalah setaraf dengan badan dan organisasi lain di Malaysia, ini dibuktikan dengan penerimaan pensijilan ISMS (Information Security Management System) ISO 27001:2013 oleh SIRIM QAS International Berhad pada 14 Jan 2019 lalu,” katanya.

Berdasarkan kepada satu artikel dalam forum dalam talian sebanyak 1,164,540 rekod pelajar dan alumni UiTM antara 2000 hingga 2018, dari kampus utamanya serta 13 kampus cawangan di seluruh negara yang mendaftar bagi pelbagai kursus yang ditawarkan universiti itu, dipercayai bocor.

Artikel itu mendedahkan, data yang bocor itu termasuk nombor pengenalan pelajar, nama pelajar, nombor MyKad, alamat, alamat emel, kod kampus, nama kampus, kod program, serta nombor telefon bimbit.

Turut bocor adalah data pelajar yang mendaftar untuk kursus yang diiktiraf UiTM di kolej lain termasuk Kolej INPENS, Kolej Yayasan Terengganu, Kolej Yayasan Pelajaran Johor, Institut Yayasan Bumiputera Pulau Pinang, Kolej UNITI, Kolej Chermai Jaya, Kolej Lagenda Langkawi dan Institut Teknologi Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 7:13 PM