TANGKAP layar video yang tular pagi tadi. FOTO tular media sosial
TANGKAP layar video yang tular pagi tadi. FOTO tular media sosial
Ruwaida Md Zain


LELAKI tempatan yang memandu melawan arus dalam keadaan mabuk di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) ditahan polis pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek ditahan ketika sedang memandu di lebuh raya terbabit.

"Pada jam 2.10 pagi, suspek ditahan oleh sepasukan anggota peronda Lebuhraya KESAS di Kilometer 24.1 dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

"Lelaki yang berumur 31 tahun itu dibawa ke Balai Polis Trafik Klang Selatan untuk ujian pernafasan.

"Ujian ke atas suspek adalah positif iaitu pemanduan di bawah pengaruh alkohol," katanya ketika dihubungi.

Shamsul Amar berkata, polis turut merampas kenderaan milik suspek iaitu Honda City berwarna putih.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Pagi tadi, video lelaki terbabit memandu melawan arus yang berdurasi 23 saat itu dirakam orang awam yang melalui lebuh raya terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 12:16 PM