ANGGOTA Polis Trafik Daerah Klang Selatan membuat pemeriksaan terhadap pemandu ketika Ops Selamat 12 sempena Tahun Baru Cina di Jalan Klang Banting, Pandamaran. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
ANGGOTA Polis Trafik Daerah Klang Selatan membuat pemeriksaan terhadap pemandu ketika Ops Selamat 12 sempena Tahun Baru Cina di Jalan Klang Banting, Pandamaran. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Ruwaida Md Zain


LELAKI memberi alasan kereta dipandunya milik isteri yang sarat hamil selepas ditahan kerana memandu tanpa lesen dalam Op Selamat 12 yang diadakan di Jalan Banting-Pandamaran, Klang, hari ini.

Bagaimanapun, alasan lelaki berusia 30-an itu tidak diterima pihak berkuasa apabila dia dikenakan tindakan saman dalam operasi yang dijalankan sempena Tahun Baharu Cina itu.

Lelaki terbabit mendakwa tidak pernah memiliki lesen memandu walaupun mula mahir memandu kereta sejak berusia 15 tahun.

Dia juga gagal memberi jawapan ketika ditanya mengapa tidak memohon lesen memandu, namun memberi jaminan akan melakukannya dalam masa terdekat.

“Ini kereta isteri saya, dia sarat mengandung sebab itu saya pandu keretanya,” katanya yang ditahan di persimpangan lampu isyarat Jalan Banting-Pandamaran, pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli yang berada di lokasi berkata, sebanyak 83 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terutama melanggar lampu isyarat.

“Dalam daerah Klang Selatan ini, kami mengadakan sekatan jalan raya di dua kawasan panas iaitu Jalan Banting-Pandamaran dan Jalan Kem.

“Sebanyak 62 saman dikeluarkan atas kesalahan melanggar lampu merah, lapan saman membabitkan kesalahan tiada lesen memandu, lima saman bagi kesalahan tiada cukai jalan.

“Lima saman dikeluarkan atas kesalahan mengubahsuai nombor pendaftaran, dua lagi tidak memakai topi keledar dan satu saman menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Polis berharap dengan operasi selama 14 hari ini dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di kawasan Klang Selatan ini,” katanya.

Shamsul Amar berkata, bagi tempoh 14 hari Op Selamat sempena perayaan Tahun Baharu Cina pada 2017, sebanyak 478 kemalangan termasuk satu kemalangan maut yang mengorbankan satu nyawa, dicatatkan.

“Kebanyakan kemalangan membabitkan penunggang motosikal di jalan bandaran. Saman yang dikeluarkan bagi tempoh 14 hari operasi terbabit adalah sebanyak 3,192 membabitkan pelbagai kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai permulaan operasi sekatan jalan raya untuk Op Selamat 12, tumpuan diberikan kepada dua kawasan panas terbabit.

“Apabila perayaan hampir menjelang, kami akan melihat kembali lokasi lain dijangka berlaku banyak kesalahan lalu lintas.

“Operasi membanteras mat rempit juga akan dipergiatkan dan polis sudah mengenal pasti beberapa kawasan panas terutama di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan persimpangan Lebuhraya KESAS - Taman Botanik dan Bukit Tinggi,” katanya.

Operasi selama hampir dua jam itu membabitkan 30 pegawai dan anggota Trafik Klang Selatan serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Daerah Klang.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Klang Selatan, Deputi Superintendan Md Dom Dollah dan Ketua Bahagian Pentadbiran Daerah, Deputi Superintendan Sakri Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 2:09 PM