Siraj Mohd Zaini


Klang: Ratusan mat rempit 'mati akal' ketika cuba melarikan diri selepas lokasi perlumbaan haram di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berhampiran susur keluar ke Banting, di sini, dikepung polis, awal pagi tadi.

Kebanyakan mereka sanggup membahayakan nyawa masing-masing dengan menunggang melawan arus untuk mencari jalan keluar namun gagal apabila semua laluan keluar dan masuk ke lebuh raya berkenaan ditutup polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Kamaludin Mohamad berkata, seramai 129 individu dengan 120 motosikal ditahan dan diperiksa dalam Op Samseng Jalanan bermula jam 12 tengah malam hingga 7 pagi tadi.

Menurutnya, operasi itu membabitkan kekuatan seramai kira-kira 100 anggota dan pegawai polis dengan dibantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang dan pihak KESAS.

"Sebanyak 150 jumlah saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, nombor plat tidak mengikut spesifikasi dibenarkan dan lain-lain.

"Polis menyita 59 motosikal serta membawa balik lapan motosikal yang ditinggalkan di tepi lebuh raya berkenaan selepas mereka melarikan diri," katanya tadi.

Beliau berkata, semua yang ditahan berusia antara 16 hingga 30 tahun dan operasi dijalankan selepas lokasi itu kerap dijadikan perlumbaan haram setiap malam hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 11:43 AM
Sekumpulan mat rempit meninggalkan motosikal ketika cuba melarikan diri. FOTO Muhammad Sulaiman
Sekumpulan mat rempit meninggalkan motosikal ketika cuba melarikan diri. FOTO Muhammad Sulaiman