Gambar daripada rakaman video yang tular sebuah kereta dipandu melawan arus berhampiran Plaza Tol Litrak, Petaling Jaya hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Gambar daripada rakaman video yang tular sebuah kereta dipandu melawan arus berhampiran Plaza Tol Litrak, Petaling Jaya hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI dipercayai mabuk memandu secara melawan arus dan melulu dari Jalan PJU 7/3 Damansara ke arah Kilometer 19 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Plaza Tol Litrak di Petaling Jaya hari ini.

Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang padah apabila dikesan sebelum ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 27 tahun yang memandu Honda City mula dikesan melawan arus bermula dari Jalan PJU 7/3 Damansara pada 4.30 pagi.

"Kejadian itu kemudian disedari pihak polis bantuan bermula dari Kilometer 8 (Icon City) hingga ke Kilometer 19 LDP berhampiran Plaza Tol Litrak.

"Suspek dipercayai memandu melawan arus sejauh kira-kira 10 kilometer sebelum berjaya ditahan di lokasi terbabit.

"Hasil ujian pernafasan dilakukan mendapati lelaki berkenaan positif lebihan alkohol daripada kadar dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati suspek bersama teman wanitanya dalam perjalanan mahu pulang ke rumahnya di Rawang.

"Difahamkan suspek mahu pulang ke rumah selepas berhibur di sebuah pusat hiburan di Damansara.

"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) dan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Terdahulu, rakaman video berdurasi 11 saat menunjukkan kereta berkenaan dipandu melawan arus di lokasi terbabit tular di media sosial hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 8:58 PM