ANTARA wakil ekonomi APEC dari lapan zon waktu yang berbeza pada mesyuarat VESOM dalam talian.
ANTARA wakil ekonomi APEC dari lapan zon waktu yang berbeza pada mesyuarat VESOM dalam talian.
Suliati Asri


PEMIMPIN di seluruh Asia Pasifik perlu memberi penekanan terhadap Deklarasi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengenai Memudahkan Gerakan Barangan Penting bagi mempromosikan perdagangan serantau.

Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan Luar Biasa (SOM), Hairil Yahri Yaacob berkata, beliau menyeru delegasi untuk menggunakan sebanyak mungkin fleksibiliti dalam memenuhi deklarasi ini dalam mencapai penyelesaian terbaik Mesyuarat Maya Menteri-Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (VMRT).

Katanya, bagaimanapun semua pihak harus berjaga-jaga dalam meletakkan asas bagi pemulihan dan ketahanan ekonomi di rantau ini.

"Cadangan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) kepada MRT adalah rujukan yang baik mengenai bagaimana kita dapat meningkatkan perkongsian swasta untuk pemulihan berterusan.

"Penting bagi kita menyedari bahawa agenda kejayaan atau kegagalan yang telah dikenal pasti bergantung sepenuhnya terhadap keputusan pelaksanaan yang dibuat pegawai kanan APEC tahun ini.

"Kita harus menunjukkan bahawa melalui usaha gabungan ini kita dapat menghasilkan penyelesaian jitu tepat pada waktunya bagi seluruh rantau ini," katanya dalam kenyataan ucapan yang dikeluarkan.

Sejak Mesyuarat Pegawai Kanan Luar Biasa Secara Maya (VESOM) lalu diadakan, sebilangan jawatankuasa forum, termasuk jawatankuasa perdagangan dan pelaburan bagi ekonomi dan teknikal SOM, hampir mencapai keutamaan yang ditetapkan awal tahun ini.

"Saya gembira dengan maklum balas yang diberikan oleh jawatankuasa forum yang memberi beberapa cadangan oleh Pegawai Kanan Rasmi dalam memastikan momentum APEC 2020 ini.

"Dalam tempoh ini, kita perlu menerima kenyataan bahawa kita perlu terus saling berhubung antara satu sama lain.

"Perpaduan yang dikongsi antara ekonomi kita juga menjadi simbolik APEC.

"Kita perlu mengukuhkan hubungan yang ada bagi disesuaikan dengan keadaan yang serba mencabar ini akibat penularan wabak Covid-19 dan kita perlu lebih kuat dari sebelumnya," katanya.

Malaysia berjaya mempengerusikan VESOM mengenai Covid-19 dengan mengumpulkan 21 ekonomi APEC dari lapan zon waktu yang berbeza, dalam satu platform maya.

Mesyuarat selama empat jam bermula 7 malam waktu Malaysia dan menyaksikan penyertaan semua Ekonomi APEC, ABAC serta pemerhati terpilih dari organisasi antarabangsa dan serantau.

Mesyuarat itu dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selaku Sekretariat Nasional APEC 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 11:08 AM