GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Mamat


Ayer Keroh: Kerajaan Melaka masih tidak membenarkan warga asing menyertai sebarang aktiviti ibadah di masjid dan surau di negeri ini.

Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, keputusan yang dipersetujui menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Melaka itu adalah bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19 yang sebelum ini banyak dikaitkan berpunca daripada pekerja asing.

Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan negeri juga tidak menggalakkan kanak-kanak yang berusia enam tahun ke bawah untuk turut serta dalam aktiviti di masjid kerana golongan berkenaan lebih terdedah dengan wabak.

"Kita faham hati kecil ibu bapa adalah untuk mendidik anak mereka supaya dekat dengan rumah Allah terutama pada bulan Ramadan ini, namun ia bergantung kepada situasi semasa penularan wabak ini.

"Sebab itulah kita memutuskan untuk tidak digalakkan anak kecil ke masjid dan surau sebagai langkah keselamatan kerana golongan itu lebih terdedah dengan bahaya berbanding orang dewasa," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Abdul Halim berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sudah mengedarkan surat pekeliling kepada masjid dan surau untuk membenarkan ibadah dilakukan sepanjang Ramadan ini.

Katanya, kebenaran itu juga termasuk solat sunat tarawih, tadarus al-Quran, kuliah Subuh serta qiamullail dengan syarat setiap jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu, Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya membuat keputusan tidak membenarkan apa-apa penganjuran aktiviti lain seperti ceramah, ucapan dan penyampaian sumbangan dalam premis masjid dan surau sejurus masuk waktu Isyak sehingga solat sunat witir selesai.

Bagaimanapun, pengecualian hanya diberikan kepada program rasmi yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.

"Arahan ini berkuatkuasa serta-merta sehingga akhir Ramadan ini dan semua jawatankuasa masjid dan surau diminta mematuhinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 1:15 PM