Siti Rohana Idris


PENGANGGUR yang dipercayai baharu pertama kali menjalankan kegiatan pengedaran dadah ditahan dalam serbuan di tepi jalan di Kampung Kebakat, Wakaf Bharu, Tumpat, semalam.

Suspek berusia 23 tahun ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan ketika sedang menunggu pelanggan di atas sebuah motosikal pada 6.45 petang.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, ketika penahanan dibuat berlaku sedikit pergelutan dengan suspek terbabit.

"Hasil pemeriksaan menemui satu bungkusan plastik cerah di dalamnya terdapat 10 paket mengandungi 2,000 pil kuda dianggarkan bernilai keseluruhan RM20,000.

"Pemeriksaan lanjut juga menemui wang tunai berjumlah RM16,200 dipercayai hasil mengedar dadah," katanya ketika sidang media di IPK Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif Methampethamine dan memiliki tiga rekod jenayah berkait dadah.

Katanya, suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 29 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHAMMAD Piah (tengah) menunjukkan 600 pil ecstasy yang dirampas dalam serbuan pesta hiburan di sebuah inap desa di Kubang Kerian, pagi tadi. FOTO Siti Rohana Idris
MOHAMMAD Piah (tengah) menunjukkan 600 pil ecstasy yang dirampas dalam serbuan pesta hiburan di sebuah inap desa di Kubang Kerian, pagi tadi. FOTO Siti Rohana Idris

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 7:00 PM