MASJID KARIAH TERIANG. FOTO ABNOR HAMIZAM
MASJID KARIAH TERIANG. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


SOLAT Jumaat sudah boleh dilaksanakan di Masjid Kariah Teriang, Kuala Klawang, Jelebu, mulai minggu ini.

Pengisytiharan solat Jumaat itu diumumkan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad selepas majlis perasmian masjid oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, hari ini.

Masjid baharu bernilai RM2 juta itu mula dibina pada September 2017 menerusi peruntukan kerajaan persekutuan menggantikan masjid lama yang uzur selain tidak mampu menampung jemaah yang semakin meningkat dan siap sepenuhnya 21 Mei lalu.

Aminuddin berkata masjid itu mampu memuatkan 350 jemaah selain turut dilengkapi kemudahan bilik pengurusan jenazah dan tandas.

Katanya selain untuk kegunaan penduduk Kampung Teriang, masjid baharu itu mampu memberi manfaat kepada penduduk kampung dan taman berhampiran kampung berkenaan.

"Kita berharap dengan pembinaan masjid ini, pelbagai program yang mengimarahkan masjid dapat diadakan sesuai dengan fungsi sebenar masjid.

"Masjid juga perlu memainkan peranan dalam membentuk nilai murni masyarakat selain menjadi tempat mengeratkan perpaduan umat islam," katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir; Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Ir Masri Baharuddin; Pengarah Pembangunan Negeri, Rahman Mohd Din dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Mohd Zaidi Ramli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 6:26 PM