FOTO hiasan
FOTO hiasan
Setiap tahun dianggarkan seramai 1.3 juta orang meninggal dunia manakala 50 juta lagi mengalami kecederaan di jalan raya. Memandu di bawah pengaruh alkohol adalah salah satu daripada tiga penyebab utama kematian di jalan raya selain daripada faktor memandu dengan laju dan tidak memakai tali pinggang keledar.

Di Malaysia, pada 2018 terdapat 191 kes kematian jalan raya disebabkan oleh pemandu mabuk dan angka itu terus meningkat pada 2019 sehinggakan perkara ini mendapat perhatian serius daripada kerajaan. Terdapat tiga seksyen di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu Seksyen 41, 44 dan 45 akan dikaji semula bagi memperketatkan undang-undang sedia ada dengan hukuman yang lebih berat. Usaha kerajaan tersebut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal) iaitu untuk mengurangkan bilangan kematian global dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

Terdapat beberapa saranan yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan dalam usaha mengekang kenaikan jumlah kematian di jalan raya yang disebabkan oleh pemanduan di bawah pengaruh alkohol. Kajian menunjukkan bahawa pengurangan had Blood Alcohol Concentration (BAC) yang dibenarkan mampu mengurangkan kematian di jalan raya. Suruhanjaya Eropah menetapkan had BAC yang dibenarkan adalah pada 0.5g/l. Kini, terdapat banyak negara mengurangkan had BAC, manakala empat negara seperti Czech Republic, Hungary, Romania and Slovakia memperkenalkan zero tolerance policy di mana pemandu di negara mereka mestilah berada pada bacaan 0 BAC ketika memandu. Di Malaysia, undang-undang semasa membenarkan sehingga 80mg alkohol dalam 100ml darah manakala had antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah 50mg dalam 100ml darah.

Penguatkuasaan yang konsisten juga penting dalam mengurangkan jumlah pemandu yang memandu dalam pengaruh alkohol.
Di Eropah, setiap pemandu dan penunggang motosikal memiliki keberangkalian yang sama untuk menjalani ujian alkohol ketika memandu. Buat masa ini, Estonia merupakan negara yang paling tinggi dalam penguatkuasan
di Eropah. Pada 2015, sebanyak kira-kira 677 orang daripada 1,000 penduduk menjalani ujian pemeriksaan alkohol.

Dari segi hukuman, kebanyakan negara di Eropah mengenakan jumlah denda yang sama tanpa mengira jumlah pendapatan seseorang pesalah. Namun, negara seperti Denmark, Finland dan Sweden mengambil pendekatan yang berbeza di mana pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol perlu membayar denda mengikut jumlah pendapatan mereka. Hasil daripada saman yang terkumpul itu akan digunakan untuk membiayai kos program membanteras pemandu mabuk. Di Latvia, seseorang pemandu perlu lulus dalam ujian teori, ujian memandu dan ujian kesihatan sekiranya ingin mendapatkan semula lesen memandunya. Di Slovenia pula, pemandu yang didapati memandu dalam keadaan mabuk akan dirampas kenderaanya dan lesennya digantung manakala pesalah berulang perlu mengikuti program pemulihan yang merangkumi bengkel pendidikan dan psikososial.Masalah kematian di jalan raya ini sekiranya dibiarkan begitu saja, ia akan merencatkan usaha kerajaan dalam mencapai beberapa dasar kerajaan yang digubal sebelum ini, contohnya Dasar Kependudukan Negara yang pernah digarapkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-4. Selain itu, sekiranya angka kematian di jalan raya terus meningkat, ia sedikit sebanyak dapat membantutkan peningkatan jumlah modal insan dan tenaga buruh mahir yang akhirnya nanti menghalang usaha negara ke arah mencapai objektif Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030. Antara salah satu tujuan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama ini digubal adalah untuk merapatkan jurang pendapatan dan pembangunan antara kelas, kaum dan wilayah. Ketidakseimbangan pembangunan sesebuah wilayah berlaku ekoran daripada ketidakseimbangan daya saing yang ada di wilayah kurang maju dan di wilayah maju. Dalam masa sama beberapa faktor pemangkin seperti faktor sosiobudaya (jumlah kelahiran dan kematian) juga mempengaruhi keadaan ketidakseimbangan dalam pembangunan sesebuah wilayah. Sekiranya kadar kematian di jalan raya meningkat dari hari ke hari, sudah tentu sesebuah wilayah mahupun negara akan kehilangan modal insan dan tenaga kerja yang mahir yang amat diperlukan dalam pembangunan negara. Tatkala itu, negara dikatakan seperti melemparkan pancing yang tidak berumpan apabila banyak wang dihabiskan untuk membangunkan modal insan dan melahirkan k-worker dan mereka ini lesap di pusara lebuh raya atas kecuaian pemandu mabuk.

>>Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 7:01 AM