DEWAN Rakyat. FOTO Bernama
DEWAN Rakyat. FOTO Bernama
Maiamalina Mohamed Amin dan Suraya Roslan


DEWAN Rakyat menyambung persidangan hari ini dengan pengumuman penukaran tempat duduk membabitkan ahli parlimen di galeri awam dan tempat duduk pegawai.

Timbalan Yang Dipertua Datuk Mohd Rashid Hasnon yang membacakan perutusan Yang Dipertua Datuk Azhar Azizan Harun berkata, sebahagian ahli Barisan Nasional (BN) Backbenchers dipindahkan ke barisan belakang kanan di blok utama dewan.

"Sebahagian lagi duduk di tempat duduk pegawai sebelah kanan saya. Manakala, ahli parlimen pembangkang yang duduk di tempat duduk pegawai di kiri saya kini dipindahkan ke galeri awam di belakang sana.

"Perubahan tempat duduk terkini ini turut mengambil kira peraturan agar YDP dapat memandang ahli Yang Berhormat semasa sesi pertanyaan dan perbahasan," katanya.

Menurutnya, ia juga selaras Peraturan Mesyuarat 35(2) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat iaitu jika dua atau lebih ahli dewan yang bangun serentak maka YDP hendaklah memanggil ahli yang terpandang dulu olehnya.

Azhar Azizan melakukan tinjauan peribadi tempat duduk ahli dewan dan berbincang dengan anggota mewakili blok kerajaan dan pembangkang sebelum memutuskan demikian, demi keselesaan ahli.

Sejak persidangan bermula Isnin minggu lalu, tempat duduk ahli parlimen disusun semula dengan amalan penjarakan sosial mencegah Covid-19, menyebabkan ada yang terpaksa duduk di galeri awam dan tempat duduk pegawai.

Terdahulu, Mohd Rashid mengingatkan ahli parlimen yang mempunyai gejala awal Covid-19 supaya membuat pemeriksaan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 10:45 AM