ANTARA kenderaan yang rosak dilanggar lelaki OKU warga India dipercayai mabuk di parkir sebuah hotel di Jalan Pantai Chenang, Langkawi, hari ini. FOTO ihsan Polis
ANTARA kenderaan yang rosak dilanggar lelaki OKU warga India dipercayai mabuk di parkir sebuah hotel di Jalan Pantai Chenang, Langkawi, hari ini. FOTO ihsan Polis
Hamzah Osman


Kereta dipandu lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol merempuh kenderaan lain di kawasan parkir sebuah hotel di Jalan Pantai Chenang, Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian 8.20 pagi, lelaki warga India berusia 35 tahun itu dikatakan masuk ke parkir hotel untuk ke kedai runcit berdekatan sebelum melanggar kenderaan yang diletakkan di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pemandu terbabit sebelum itu cuba membuat pusingan U di kawasan parkir, namun kenderaannya hilang kawalan.

"Akibat itu, kenderaan dipandu suspek melanggar sebuah kenderaan lain di kiri jalan menyebabkan kenderaan terbabit 'ditolak' sebelum merempuh sebuah kenderaan di sebelahnya.

"Kenderaan dipandu suspek kemudian terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh dua lagi kenderaan," katanya.

Mohd Iqbal berkata, siasatan awal mendapati suspek yang tiada kaki kiri selain tidak mempunyai lesen memandu mengaku memandu di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, suspek kemudian ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 8:46 PM