SUSPEK warga Finland mengedarkan bahan keagamaan di Jalan Pantai Chenang, Langkawi. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK warga Finland mengedarkan bahan keagamaan di Jalan Pantai Chenang, Langkawi. FOTO Ihsan PDRM
Hamzah Osman


SUAMI isteri antara empat warga Finland yang ditahan kerana mengedar buku nota dan pen mengandungi petikan ayat dari kitab Bible di Langkawi, petang semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, keempat-empat suspek berusia antara 27 hingga 60 tahun ditahan di hotel selepas polis menerima aduan orang awam yang curiga dengan kegiatan mereka.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pengadu memaklumkan keempat-empat suspek dilihat mengedarkan bahan keagamaan itu kepada kakitangan dan peniaga di premis perniagaan sekitar Jalan Pantai Chenang, 10.30 malam, Ahad lalu.

“Berikutan itu, polis menahan empat-empat suspek di hotel penginapan mereka untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di Langkawi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, polis turut merampas 336 buku nota mempunyai petikan ayat Bible, 47 pen dan dua bagasi.

“Sehingga kini polis menerima tiga laporan berkaitan perkara itu dan difahamkan kesemua suspek tiba di Langkawi pada Ahad lalu, dan dijadual pulang esok.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana kesalahan boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Suspek turut disiasat mengikut Peraturan 39B Akta Imigresen 1959/63 Langgar Syarat Pas dan Permit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 11:14 AM