TAMBAK JOHOR
TAMBAK JOHOR
BERNAMA

BUAT kali pertama, Malaysia dan Singapura hari ini bertemu di atas Tambak Johor iaitu sebagai simbolik menandakan persetujuan pembukaan sempadan kedua-dua buah negara yang dijangka bermula seawal 17 Ogos ini.

Pertemuan di antara Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatan dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan yang berlangsung kira-kira 10 minit itu adalah pertemuan bersemuka pertama kedua-dua pemimpin, khususnya selepas kedua-dua negara menutup sempadan masing-masing bagi mengekang penularan Covid-19, bermula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Malaysia pada 18 Mac lalu.

Menyifatkan pertemuan itu sebagai peristiwa bersejarah, Hishammuddin berkata, kejayaan perbincangan Malaysia dan Singapura sehingga membawa kepada pembukaan sempadan kedua-dua negara tidak lama lagi boleh digunakan sebagai templat untuk membincangkan mengenai gelembung perjalanan.

"Pertemuan ini diadakan bagi membincangkan pergerakan rentas sempadan Malaysia-Singapura secara bersyarat iaitu Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA).

"Kita sudah ada persetujuan dan kita sudah muktamadkan prosedur operasi standard (SOP) Malaysia dan Singapura," kata beliau kepada pemberita selepas pertemuan itu, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, rakyat Malaysia yang layak memohon di bawah kedua-dua kategori berkenaan boleh menghantar permohonan ke Jabatan Imigresen Malaysia bermula 10 Ogos ini.

"Bagi skim ketiga dan keempat, kerajaan Malaysia dan Singapura masih perlu memperhalusi banyak perkara sebelum boleh dilaksanakan, kerana ini berkait rapat soal keselamatan dan kesihatan memandangkan situasi Covid-19 jelas masih belum reda," katanya.

Menurut Hishammuddin, tahap pematuhan SOP rakyat menerusi RGL dan PCA akan turut diambil kira dalam menimbang kelulusan skim ketiga dan keempat, selain melihat keupayaan kedua-dua negara dalam melaksanakan ujian saringan Covid-19.

Pada masa sama, Malaysia kini dalam perbincangan mengenai gelembung perjalanan hijau dengan Australia, New Zealand, Thailand, Brunei dan Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 1:30 PM