MOHD Yusri menyampaian sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi anggota polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Bentong dan IPD Temerloh. FOTO ROSELAN MALEK
MOHD Yusri menyampaian sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi anggota polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Bentong dan IPD Temerloh. FOTO ROSELAN MALEK
Roselan Ab Malek


PEGAWAI Perhubungan Sekolah (PPS) akan memantau semua sekolah di Pahang bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) apabila sekolah kembali dibuka secara berperingkat mulai Rabu ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pemantauan pematuhan SOP bagi membendung penularan wabak Covid-19 itu akan dilakukan 741 PPS membabitkan pegawai polis terhadap 766 sekolah di Pahang.

"Bagi pembukaan sekolah secara berperingkat mulai minggu ini, kita akan pastikan pihak sekolah dan ibu bapa membantu mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Pihak polis akan memantau melalui PPS dengan kerjasama sekolah. Setiap sekolah ada PPS dan mereka akan berada di sekolah jagaan mereka bagi memastikan SOP terutama penjarakan sosial dipatuhi pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi Ibu Pejabat Polis (IPD) Bentong dan IPD Temerloh, di Bentong, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis dan Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman.

Pada 1 Julai lalu, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan pelajar tingkatan satu hingga empat dan pelajar kelas peralihan serta murid tahun lima danenam akan kembali ke sekolah Rabu ini, manakala murid tahun satu hingga empat pula kembali ke sekolah pada 22 Julai ini.

Pelajar tingkatan lima dan enam sudah memulakan sesi persekolahan mereka pada 24 Jun lalu, selepas tiga bulan sekolah ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 3:44 PM