KEADAAN banjir di sekitar bandar Temerloh dan Mentakab yang semakin surut hari ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
KEADAAN banjir di sekitar bandar Temerloh dan Mentakab yang semakin surut hari ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Jerantut: Mangsa banjir di Pahang bertambah baik berikutan tiada hujan sejak tiga hari lalu dan jumlah mangsa menurun kepada 33,844 mangsa pada jam 8 pagi ini berbanding 35,213 semalam.

Semua daerah menunjukkan penurunan dan penduduk mula kembali pulang untuk mencuci rumah masing masing walaupun mereka masih tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Bagaimanapun daerah Temerloh, Bera, Maran dan Pekan menunjukkan peningkatan mangsa berikutan air Sungai Pahang, Sungai Jelai dan Sungai Semantan kini mengalir ke sebelah hilir membabitkan penempatan di daerah itu.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang berkata pada masa ini jumlah mangsa banjir adalah 33,844 orang dari 10,051 keluarga di 244 PPS.

Katanya, daerah yang meningkat ialah Temerloh dengan 12,663 mangsa dari 3,629 keluarga di 79 PPS berbanding petang semalam terdapat 12,275 mangsa dari 3,514 keluarga di 81 PPS.

"Mangsa banjir di Bera meningkat kepada 2,282 dari 654 keluarga di 22 PPS berbanding petang semalam iaitu 2184 mangsa di pindah ke 20 PPS membabitkan 623 keluarga .

Katanya, daerah Maran turut menunjukkan peningkatan iaitu jumlah mangsa banjir kini meningkat ke 1,183 dari 332 keluarga di 28 PPS berbanding semalam 1,160 mangsa banjir.

"Manakala di Pekan turut meningkat di mana Pekan mencatatkan 1,790 mangsa banjir dari 534 keluarga di 21 PPS pagi ini berbanding 1,745 mangsa dipindahkan dari 520 keluarga di 21 PPS petang semalam.

Daerah lain menunjukkan penurunan mendadak iaitu Bentong mencatatkan 4,700 mangsa banjir dengan 1,597 keluarga di 17 PPS manakala Raub mempunyai 176 mangsa banjir dari 48 keluarga di 3 PPS.

Daerah lain yang turun ialah Jerantut dengan 605 mangsa dari 131 keluarga di 13 PPS, Lipis mempunyai 894 mangsa dari 281 keluarga di 9 PPS, manakala Kuantan 9,646 mangsa dari 2,845 keluarga di 34 PPS.

Dalam perkembangan yang sama, lebih banyak jalan kini dibuka kecuali di daerah yang menghadapi kenaikan air.

Di Temerloh, jalan yang ditutup ialah Jalan Kuala Lumpur - Kuantan, Jalan Gemas - Temerloh, Jalan Temerloh - Mentakab, Jalan Bolok- Sok Mek, Jalan Utama Mempaga/Bkt Damar/Lakum, Jalan Kg. Gantok, Jalan Seberang Temerloh, Jalan Kg Lipat Kajang, Jalan Teluk Ira-Rumpun Makmur, Jalan Spg. Songsang-Bangau, Jalan Megat Segama, Jalan Paya Luas - Paya Jauh, Jalan Kg Belenggu, Jalan Bahagia – Belenggu halt, Jalan Batu Kapur - Sungai Buloh, Jalan Sanggang-Lubuk Kawah dan Jalan Jenderak Loop.

Manakala di Pekan, jalan yang ditutup ialah Jalan Teluk Ganchong Lepar, JalanPelak - Belimbing dan Jalan Mentiga Terapai.

Di Bentong, jalan yang ditutup ialah Jalan Karak - Simpang Pelanggai manakala di Maran Jalan Pekan Sehari Kg Awah, Jalan Kg. Wau /Kertau, Jalan Serengkam, Jalan Bukit Tajau-Bandar Pusat Jengka, Jalan Chenor Sekara Kening, Jalan Peijing dan Jalan Masuk Kampung Paya Ladang

Manakala di Bera jalan yang ditutup ialah Jalan Gemas- Temerloh, Jalan Bohor Bahru, Jalan Bukit Serdang, Jalan Kg Menteri, Jalan Kuala Bera, Jalan Charuk Puting - Guai dan Jalan Charuk Puting - Selindang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 10:25 AM