Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Polis menempatkan pegawai perhubungan sekolah (PPS) di 24 sekolah termasuk sekolah kebangsaan pendidikan khas (SKPK) di daerah Seberang Perai Utara yang mula dibuka, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, penempatan PPS bagi memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, PPS akan hadir ke sekolah termasuk sekolah menengah yang dibuka sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi membuat pemantauan.

"Pembukaan sekolah kali ini membabitkan pelajar tingkatan enam yang belajar di semester kedua dan murid pendidikan khas.

"Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP. Kita bukan sahaja membuat pemantauan dari segi kedatangan tetapi turut memantau ketika pelajar pulang dari sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan pematuhan SOP di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi, di sini.

Antara pelajar yang hadir ketika pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi di sini. FOTO DANIAL SAAD
Antara pelajar yang hadir ketika pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi di sini. FOTO DANIAL SAAD

Menurutnya, pihak polis turut membuat pemantauan aliran trafik di semua sekolah yang dibuka bagi memastikan keselamatan pelajar.

Katanya, pada masa sama, pihaknya meminta semua pengurusan sekolah dan pelajar mematuhi SOP yang ditetapkan bagi membantu memutuskan rantaian penularan Covid-19.

"Kita dimaklumkan pelajar yang hadir ke sekolah sudah lengkap divaksinasi, namun berharap tidak akan berlaku pelanggaran SOP," katanya.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Enam, Sarah Humairah Mohd Zamri, 19, berkata dia bersemangat hadir ke sekolah bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Sudah lama sangat tidak ke sekolah dan STPM juga makin dekat maka pembukaan sekolah amat dinanti-nantikan.

"Lagipun, saya sudah lengkap divaksinasi dan berasa selamat untuk menimba ilmu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 1:06 PM