BANGUNAN Parlimen. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN Parlimen. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam

[email protected].

SPEAKER Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menolak usul undi percaya dikemukakan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung keyakinan Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai sokongan majoriti ahli.

Menerusi kandungan surat dihantar kepada Mohd Shafie, Mohamad Arif menyatakan usul dikemukakan tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, Mohamad Ariff tidak membenarkan usul itu dibawa ke dalam majlis mesyuarat.

"Saya sudah meneliti usul yang dikemukakan serta perincian penjelasannya.

"Berdasarkan penjelasan diberikan dalam usul itu, saya mendapati ia adalah tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikai kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan jawatan Perdana Menteri," katanya.

Menurut surat bertarikh 5 Mei itu, permohonan itu selaras dengan Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27 (3) dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Hari ini, Mohd Shafie mengesahkan surat tular berhubung undi percaya di Dewan Rakyat bahawa Tun Dr Mahathir memiliki sokongan majoriti ahli dewan sebagai Perdana Menteri.

Namun, beliau tidak mengulas lanjut dan meminta menunggu semasa Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian selepas melawat Ladang dan Kilang Padi di Beluran, Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 6:01 PM