ANGGOTA polis menjalankan Ops Mabuk pada SJR di Jalan Pandan 1 dari Maluri ke Ampang. FOTO Saifullizan Tamadi
ANGGOTA polis menjalankan Ops Mabuk pada SJR di Jalan Pandan 1 dari Maluri ke Ampang. FOTO Saifullizan Tamadi
Nurul Hidayah Bahaudin


GARA-GARA mahu melarikan diri dari sekatan jalan raya, lima penunggang motosikal bertindak melawan arus di Jalan Pandan 1 menghala ke Ampang, dekat Kuala Lumpur, tengah malam tadi.

Lima motosikal terbabit dilihat dalam perjalanan dipercayai dari Taman Shamelin Perkasa sebelum memecut kenderaan mereka melalui Jalan Pandan 1 secara melawan arus disyaki untuk mengelak dua sekatan jalan raya di Jalan Pandan Jaya susur ke Ampang dan Jalan Pandan Jaya ke Shamelin jam 12.30 tengah malam tadi.

Malah, dua daripada penunggang berkenaan dilihat membawa pembonceng wanita serta sengaja berbuat bising seolah-olah mahu melakukan provokasi serta mencabar pihak berkuasa yang melakukan sekatan jalan raya di laluan bertentangan.

Itu antara situasi yang berlaku di sekatan jalan raya Operasi Mabuk dan Samseng Jalanan di Jalan Pandan 1 yang bermula kira-kira 11 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, pihaknya melakukan sekatan jalan raya bagi operasi terbabit di seluruh negeri ini pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula antara jam 7 malam hingga 4 pagi sejak awal Julai lalu.

"Hasil operasi, sebanyak 2,681 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain sembilan tangkapan membabitkan pemandu mabuk serta samseng jalanan di seluruh negeri ini.

"Bagi operasi ini pula, sebanyak 863 saman dikeluarkan dengan kebanyakannya membabitkan kesalahan tiada lesen memandu serta nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta lima motosikal disita.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 141 saman dikeluarkan, dua motosikal disita serta tiga individu mabuk ditahan dalam empat sekatan jalan raya dilakukan di sekitar daerah ini (Ampang Jaya), sehingga jam 12 tengah malam tadi (semalam)," katanya ketika ditemui selepas mengetuai Operasi Mabuk dan Samseng Jalanan di Jalan Pandan Jaya menghala ke Ampang, awal pagi tadi.

Azman berkata, hasil operasi yang dilakukan pihaknya pada setiap hujung minggu sejak awal Julai lalu menunjukkan aktiviti samseng jalanan berkurangan.

"Melalui pemerhatian kami, kegiatan samseng jalanan dilihat berkurangan selepas pihak polis menjalankan sekatan jalan raya pada setiap hujung minggu.

"Pada masa sama, pihak polis menerusi pasukan Skuad 42 juga melakukan risikan dan pemantauan di lokasi panas yang kerap dijadikan sebagai litar lumba haram oleh samseng jalanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 8:25 AM