Zatul Iffah Zolkiply


BAJU bayi yang dibeli beberapa jam sebelum kemalangan menjadi hadiah terakhir ditinggalkan seorang daripada mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring) di Kuala Berang malam tadi.

Mangsa, Wan Ahmad Adam Murshidy Wan Rosli, 24, seorang daripada empat mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler.

Isteri kepada Wan Ahmad, Nur Ismalinda Muzafar, 25, berkata, dia tidak menyangka baju bayi itu menjadi hadiah terakhir suaminya untuk anak sulung mereka.

"Tengah hari semalam, saya bersama suami ada keluar dan ketika berada di sebuah kedai, arwah suami nampak baju yang cantik dan beritahu mahu belikan untuk anak kami yang dijangka lahir pada 16 September ini.

"Memang saya tak syak apa-apa bila arwah cakap nak beli baju itu, rupa-rupanya itu hadiah terakhirnya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu hari ini.

Kata Nur Ismalinda lagi, arwah suami bersama abangnya, Noriskandar Muzafar, 33, serta tiga lagi rakan mereka bergerak ke Perak pada 4 petang semalam atas urusan kerja.

NUR Ismalinda tidak dapat menahan kesedihan selepas suami, Wan Ahmad dan abangnya, Noriskandar  maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring). FOTO Ghazali Kori
NUR Ismalinda tidak dapat menahan kesedihan selepas suami, Wan Ahmad dan abangnya, Noriskandar maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring). FOTO Ghazali Kori

"Sebelum bertolak, suami kejut suruh saya bangun tidur dan beritahu sudah mahu bertolak.

"Saya sempat salam dan dia gosok kepala dan perut saya tetapi ia sudah menjadi kebiasaan cuma ketika itu kelihatan suami ceria dan gembira.

"Sebenarnya, arwah suami dan abang memang rapat cuma mereka nampak lebih akrab sejak seminggu lalu dan selalu bersama," katanya.

Nur Ismalinda berkata, mesej terakhir suami diterimanya pada 4.30 petang yang mengingatkannya untuk memberi kucing makan.

"Saya ada mesej suami melalui aplikasi WhatsApp pada 7.30 malam tadi tetapi tiada jawapan dan tidak syak apa-apa.

"Saya tahu mengenai kemalangan itu selepas dihubungi polis pada 11 malam dan memaklumkan suami sudah tiada," katanya yang tinggal di Kuala Nerus.

Selain suami, nahas itu turut meragut nyawa abang kepada Nur Ismalinda, Noriskandar.

Jenazah Wan Ahmad Adam Murshidy dan abang iparnya, Noriskandar akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kuala Nerus dan Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu.

NUR Ismalinda ketika di Jabatan Forensik Hospital Hulu Terengganu.  FOTO Ghazali Kori
NUR Ismalinda ketika di Jabatan Forensik Hospital Hulu Terengganu. FOTO Ghazali Kori

Berita berkaitan

[UPDATE] 1 lagi mangsa kemalangan meninggal dunia

Tiga maut kereta bertembung treler

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 4:41 PM