GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Georgetown: Tindakan pemilik sebuah rumah kedai melaporkan kejadian pecah masuk di premisnya di Bandar Baru Farlim, di sini, Jumaat lalu, membongkar kegiatan perlombongan mata wang bitcoin dan penyambungan elektrik secara haram di premis itu.

Akibatnya, lelaki berusia 23 tahun dan dua rakannya berusia 24 dan 35 tahun ditahan untuk siasatan lanjut, selepas polis menyita 149 mesin bitcoin bernilai kira-kira RM150,000 dari premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, terdahulu, pihaknya menerima laporan kejadian pecah masuk daripada pemilik rumah kedai itu pada 4 petang yang memaklumkan menerima amaran daripada telefon bimbitnya.

"Lelaki itu yang sedang berada di rumah bergegas ke kedainya dan sebaik tiba terserempak dengan tujuh lelaki yang melarikan diri dengan menaiki sebuah sebuah van dan kereta.

"Bertindak atas laporan yang dibuat lelaki itu, polis mengesan sebuah van dinaiki oleh suspek di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada 4.30 petang sebelum menahan dua lelaki berusia 34 dan 37 tahun serta merampas tiga komponen komputer yang dicuri dari rumah kedai berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Soffian berkata, susulan tangkapan itu, polis melakukan siasatan lanjut ke atas premis berkenaan pada 12.15 tengah malam dan mendapati premis itu digunakan untuk kegiatan perlombongan bitcoin menggunakan penyambungan elektrik secara haram, selepas menemukan 149 mesin bitcoin bersama beberapa kelengkapan lain itu.

Beliau berkata, pemeriksaan Tenaga Nasional Bhd (TNB) mempercayai kegiatan itu dilakukan sejak empat bulan lalu dan menyebabkan TNB kerugian kira-kira RM180,000.

Katanya, pemilik premis dan dua rakannya itu direman dua hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dua lelaki yang dipercayai suspek pecah masuk premis berkenaan dan mempunyai rekod jenayah termasuk kes dadah direman tiga hari dan polis sedang mengesan beberapa lagi rakan mereka bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 2:34 PM