ANGGOTA polis menyelamatkan bayi yang ditemui di bumbung rumah teres di Taman Seri Dermawan, Bercham, semalam. FOTO ihsan pembaca
ANGGOTA polis menyelamatkan bayi yang ditemui di bumbung rumah teres di Taman Seri Dermawan, Bercham, semalam. FOTO ihsan pembaca
Balqis Jazimah Zahari


BAYI lelaki yang dipercayai dicampak ibunya dan terjatuh di bumbung kediaman jiran di Taman Seri Dermawan, Bercham, Ipoh, semalam, yang sebelum ini dilaporkan stabil kini kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, bayi berkenaan dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal, Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

"Bayi berkenaan dalam keadaan kritikal dan diberikan bantuan pernafasan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan menunggu keadaan ibu bayi itu yang berusia 16 tahun stabil.

A Asmadi sebelum ini dilaporkan berkata, polis menerima panggilan mengenai penemuan bayi itu pada 12.35 tengah hari semalam.

Kejadian disedari jiran suspek yang terdengar dentuman di bumbung sebelum melihat bayi itu melalui tingkap biliknya.

Bayi itu dipercayai dicampak ibunya dari tingkap bilik yang terletak di belakang rumah jiran berkenaan.

Ini kejadian kedua bayi dicampak dari tingkap berlaku pada bulan ini.

Pada 10 Julai lalu, kejadian sama berlaku di sebuah apartmen di Bandar Baru Farlim, Air Itam, Georgetown apabila bayi perempuan baru dilahirkan maut dicampak ibunya dari tingkat 13.

Berita berkaitan

Keadaan bayi dicampak dari tingkap stabil

Campak bayi baru lahir dari tingkat dua

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 5:53 PM