FOTO hiasan
FOTO hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sekolah dibenarkan beroperasi untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, tetapi terhad kepada murid kelas peperiksaan sahaja bagi negeri yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa 2 PPN, sekolah dibenarkan beroperasi untuk sesi PdP secara bersemuka, tetapi terhad kepada murid kelas peperiksaan sahaja.

Menurutnya, MKN juga memberi kebenaran pergerakan rentas negeri dan daerah bagi guru dan murid kelas peperiksaan yang terbabit sekiranya sekolah dibuka.

"Walau bagaimanapun, KPM ingin memaklumkan bahawa Takwim Persekolahan KPM tahun 2021 adalah kekal seperti diumumkan Menteri Kanan Pendidikan dalam sidang media pada 6 Jun lalu.

"Ini bermakna, sesi PdP bagi murid kelas peperiksaan di negeri Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan terus dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga cuti pertengahan penggal yang akan bermula pada 16 Julai ini bagi negeri Kumpulan A dan 17 Julai ini bagi negeri Kumpulan B," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemakluman lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi persekolahan penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai ini bagi negeri Kumpulan A dan 26 Julai ini bagi negeri Kumpulan B akan dibuat KPM sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 8:06 PM