MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. FOTO ihsan KPM
MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. FOTO ihsan KPM
Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberikan tempoh sekurang-kurangnya dua minggu kepada sekolah di negeri beralih fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk membuat persediaan sebelum dibuka.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kementeriannya akan mengeluarkan kenyataan dan pemakluman berhubung tarikh pembukaan sekolah berkenaan.

"Katakanlah sebuah negeri beralih fasa, kita memberikan sekurang-kurangnya tempoh 14 hari untuk membuat persediaan walaupun pengumuman dibuat dua hari sebelum peralihan.

"Sebagai contoh, Negeri Sembilan yang kini di Fasa 3 beralih kepada Fasa 4, kita akan bagi tempoh dua minggu dari tarikh negeri berkenaan beralih fasa.

"Kita akan maklumkan dan mengeluarkan kenyataan bila tarikh persekolahan itu akan bermula," katanya pada rancangan Soal Rakyat Khas Pengoperasian Sekolah secara langsung di TV3, malam ini.

Ditanya mengenai pengoperasian sekolah di kawasan Program Gelembung Pelancongan, Radzi berkata, institusi pendidikan itu akan dibuka mengikut ketetapan dalam Fasa 4 PPN.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Bagi kawasan ini, kita akan ikut ketetapan pembukaan sekolah Fasa 4 PPN, sebab Fasa 4 adalah di mana semua sektor dibuka.

"Jadi dalam konteks Langkawi ini, kita ikut Fasa 4, kita akan maklumkan pada ibu bapa bila sekolah dalam kawasan berkenaan akan dibuka," katanya.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan keputusan KPM membuka sekolah bersemuka secara berperingkat mulai 3 Oktober ini adalah untuk mengeratkan kembali pelajar yang dengan sistem pendidikan negara.

Menurutnya, sudah terlalu lama murid dan pelajar tidak dapat hadir dan dilihat semakin renggang dengan sistem persekolahan.

"Dalam konteks hari ini, kita ingin buka sekolah dalam keadaan selamat. Kita melihat semua faktor dan keselamatan untuk memastikan ekosistem dalam sekolah itu semuanya divaksinkan termasuk guru, pentadbir, kakitangan sokongan dan sebagainya.

"Kalau kita buka (sekolah) tahun depan, ini bermakna mereka meninggalkan sistem persekolahan itu cukup panjang dan terlalu lama.

"Ada anak yang terlalu renggang dengan sekolah, ada yang berfikir nak bekerja untuk bantu ibu bapa.

"Saya ingin menegaskan kami di KPM memikul amanah untuk jaga lebih lima juta murid dan ini amanah besar serta perlu ditanggung dengan penuh ikhlas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 11:15 PM