LELAKI warga emas maut selepas mandi di Pantai Teluk Batik, Lumut. FOTO Ihsan APM
LELAKI warga emas maut selepas mandi di Pantai Teluk Batik, Lumut. FOTO Ihsan APM
Noor Hidayah Tanzizi


LELAKI warga emas maut selepas mandi di Pantai Teluk Batik, Lumut, hari ini.

Mangsa, Miskam Kadar, 66, dipercayai meninggal dunia kerana sesak nafas pada 7.17 malam.

Difahamkan, mangsa dari Ipoh datang ke Teluk Batik bersama keluarganya dan menginap di chalet di pantai berkenaan sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu oleh orang awam ketika menjalankan rondaan di kawasan berkenaan pada 7.05 malam.

Menurutnya, sebelum itu, mangsa dikatakan mandi bersama beberapa ahli keluarga dan naik ke darat selepas mengadu kepenatan.

"Lelaki warga emas itu kemudian rebah dan tidak sedarkan diri. Kejadian itu dimaklumkan kepada pihak Hospital Seri Manjung (HSM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi memberi bantuan.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan HSM pada 7.17 malam di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSM untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 11:25 PM