LELAKI berusia 21 tahun parah dipercayai selepas membakar dirinya sendiri di Kampung Bintang, Sitiawan, Manjung. FOTO Tular
LELAKI berusia 21 tahun parah dipercayai selepas membakar dirinya sendiri di Kampung Bintang, Sitiawan, Manjung. FOTO Tular
Noor Hidayah Tanzizi


LELAKI yang parah selepas dipercayai membakar dirinya sendiri dalam kejadian di Kampung Bintang, Sitiawan, Isnin lalu meninggal dunia 6.20 petang, semalam.

Terdahulu, mangsa berusia 21 tahun yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seri Manjung (HSM) sejak hari kejadian.

Pemuda itu dikatakan bertindak membakar dirinya selepas dipercayai bergaduh dengan teman wanitanya.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, polis dimaklumkan mengenai kematian mangsa oleh pihak hospital.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di HSM pada 6.20 petang dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengenalpasti punca kematian mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima laporan mengenai kejadian itu pada 7.40 malam Isnin lalu dan siasatan mendapati mangsa dikatakan membakar diri sendiri disebabkan bergaduh dengan teman wanitanya.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kesan terbakar pada tubuhnya hampir 90 peratus.

Video membabitkan kejadian itu turut tular di laman Facebook.

Berita berkaitan

Bakar diri gaduh dengan teman wanita

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 12:21 PM