DATUK Seri Wan Rosdy (dua kiri) bersama calon Barisan Nasional (BN) Shahrim (tengah) beramah mesra dengan warga emas Hamidah (kiri) ketika Ziarah Kasih di Kampung Salong dalam kempen PRK. FOTO Bernama
DATUK Seri Wan Rosdy (dua kiri) bersama calon Barisan Nasional (BN) Shahrim (tengah) beramah mesra dengan warga emas Hamidah (kiri) ketika Ziarah Kasih di Kampung Salong dalam kempen PRK. FOTO Bernama
BERNAMA

BARU memasuki hari keempat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain dilihat mempamerkan gerak kerja kempen sistematik dengan bertemu hampir 40 peratus pengundi.

Ketika ditemui sewaktu mengiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail semasa kempen di sekitar Salong, Pekan, Mohd Sharim gembira dengan sokongan dan maklum balas positif diterima sehingga hari ini.

Dikenali dengan gelaran 'Cip Sharim' dalam kalangan generasi muda Gugusan Felda Chini, beliau yang juga generasi kedua Felda Chini 3 berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan penerimaan pengundi di Felda serta pengundi di kawasan kampung tradisi dan perkampungan Orang Asli.

Sementara itu, Wan Rosdy selaku Pengarah PRK DUN Chini berkata, meskipun kempen PRK kali ini sangat sunyi dan tenang disebabkan ancaman pandemik Covid-19, calon BN itu akan terus bergerak dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) khas seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita gerak (dari rumah) ke rumah dengan kadar yang sedikit dan memanglah keadaan nampak lebih tenang dan aman. Bagi calon BN seharusnya kena jumpa seramai mungkin (pengundi).

"Kempen berjalan dengan sangat minimum dan tidak seperti dulu (kempen pilihan raya sebelum ini). Suasana pilihan raya itu tetap ada walaupun pergerakan agak terhad kerana patuhi SOP dan tidak boleh berkumpul seperti mana dulu ...tetapi dalam keadaan agak berbeza," katanya.

PRK DUN Chini dengan pengundian 4 Julai ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Di samping itu, Wan Rosdy berkata pihaknya akan membantu calon BN memperkasakan kempen menerusi media sosial.

"Disebabkan pergerakan kita terhad, semua yang bertanding termasuk BN akan gunakan secara meluas media sosial ini.

"Di samping itu kita akan teruskan kaedah berkempen dan tidak mengambil mudah, tidak kiralah siapa yang jadi lawan kita. Usaha kita akan diteruskan bagi memastikan kita dapat majoriti yang lebih daripada biasa," katanya.

Ditanya mengenai 'kehambaran' perang bendera dan poster meskipun sudah beberapa hari kempen, Wan Rosdy menjangkakan proses pemasangan bendera, poster dan kain rentang calon BN akan siap dalam masa terdekat.

Terdapat 20,990 pengundi berdaftar bagi DUN Chini, termasuk 18 pemilih awal.

DUN Chini adalah kubu BN sejak PRU-11 pada 2004 menerusi penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.

Pada PRU-14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 3:14 PM