TIDAK banyak bahan kempen seperti poster dan bendera dipasang, berbeza dengan situasi biasa dalam pilihan raya yang sering berlaku perang poster. FOTO BERNAMA
TIDAK banyak bahan kempen seperti poster dan bendera dipasang, berbeza dengan situasi biasa dalam pilihan raya yang sering berlaku perang poster. FOTO BERNAMA
BERNAMA

KEMPEN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang bermula sejak Sabtu lalu, masih dilihat agak hambar, kurang 'meriah' dan bahangnya belum begitu dirasai.

Ada mengatakan dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khas bertujuan mengelakkan perhimpunan besar-besaran dalam memerangi jangkitan Covid-19, memberi kesan kepada kempen secara bersemuka, apatah lagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih menggalakkan calon berkempen secara dalam talian, sepanjang 14 hari tempoh berkempen.

Selain itu, tidak banyak bahan kempen seperti poster dan bendera dipasang, berbeza dengan situasi biasa dalam pilihan raya yang sering berlaku perang poster dan bendera parti atau calon bertanding.

Bagi calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, kelewatan pemasangan bahan kempen dalam PRK ini berbanding PRK lain sebelum ini kerana jentera parti perlu memastikan aktiviti kempen mereka tidak melanggar SOP ditetapkan SPR.

"Ketika ini pun sudah ada poster dan bendera dipasang dan ia akan ditambah secara berperingkat bagi memastikan kempen terus diperhebatkan," katanya.

Tinjauan Bernama pada hari kelima kempen, hari ini mendapati masih tidak banyak poster, kain rentang kempen dan bendera boleh dilihat dan hanya beberapa bahan kempen BN dipasang di persimpangan jalan tertentu.

Malah, tidak kelihatan bahan kempen dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

Mohd Shukri awal-awal lagi menyatakan akan lebih mengutamakan kempen secara dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini, tambahan pula beliau adalah seorang penulis blog yang lebih selesa dengan kaedah secara dalam talian.

Tengku Zainul Hisham pula memaklumkan kempen beliau lebih kepada mendengar permasalahan penduduk tempatan.

Ketiga-tiga calon dilihat masih menggunakan kempen secara tradisional iaitu 'tinjauan mesra' dan dari rumah ke rumah, tetapi dijalankan dalam jumlah terhad seperti ditetapkan.

Daripada segi permit ceramah pula, Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat semalam meluluskan 12 permohonan permit yang semuanya membabitkan calon BN.

Ceramah BN dibuat mengikut SOP iaitu dalam jumlah kecil dan kebanyakannya tanpa kehadiran media kerana mahu mengurangkan bilangan yang hadir, tetapi ceramah itu disiarkan secara langsung menerusi platform dalam talian.

Di samping menggunakan platform media sosial untuk berkempen, jentera BN turut menggunakan lori bergerak untuk berkempen.

Lori itu dihiasi lampu LED dan sistem siar raya untuk memperkenalkan calon BN di ceruk kampung.

Bagi sebahagian penduduk di DUN Chini, mereka dapat menerima normal baharu dalam kempen PRK kali ini kerana ia adalah langkah penting pengawalan wabak Covid-19, namun merasakan suasana PRK kali ini tidak semeriah pilihan raya terdahulu.

Wan Islahuddin Ali, 41, pengundi dari Kampung Salong, berkata kemeriahan pilihan raya kurang dirasai meskipun ketiga-tiga calon PRK kali tetap turun padang bertemu penduduk. "Pilihan raya kali ini sangat berlainan rasanya. Kempen dari rumah ke rumah dibuat calon seperti datang melawat saudara sebabnya calon hanya diiringi beberapa individu sahaja. Tiada kemeriahan langsung," katanya.

Seorang lagi pengundi, Othman Saad, 67, berkata beliau mengetahui adanya PRK Chini selepas melihat berita di televisyen.

"Pakcik ingat pakcik sahaja yang tidak perasan sudah berlangsung kempen PRK, rupanya ada juga kawan-kawan pakcik yang beritahu perkara sama sebabnya suasananya biasa sahaja," katanya.

Hari pengundian PRK DUN Chini pada 4 Julai ini.

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 7:41 PM