PENGUNDI diambil suhu badan sebelum memasuki pusat pengundian. FOTO Bernama.
PENGUNDI diambil suhu badan sebelum memasuki pusat pengundian. FOTO Bernama.
Rafidah Mat Ruzki


ENAM pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Kecil (DUN) Chini, dibenarkan melaksanakan tanggungjawab mereka di khemah rawatan di pusat mengundi selepas didapati bergejala.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat jam 3 petang hari ini, seramai 98 pengundi dirujuk di khemah rawatan di pusat pengundian.

Katanya, seorang pengundi daripada jumlah berkenaan dirujuk kepada Klinik Kesihatan untuk rawatan lanjut.

"Seperti makluman umum, pengundian PRK DUN Chini berlangsung hari ini. Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan dan agensi lain memulakan persiapan sejak awal lagi bagi memastikan proses pengundian berlangsung dengan lancar dengan kepatuhan terhadap normal baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Antara persiapan dan langkah pencegahan jangkitan Covid-19 yang dilaksanakan oleh PKD ketika PRK DUN Chini dijalankan termasuk mengadakan mesyuarat penyelarasan PRK sebulan lalu di Pejabat Daerah Pekan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang.

"Taklimat kepada semua petugas SPR dan simulasi turut diadakan bagi petugas kesihatan yang terbabit dan penyediaan pasukan perubatan dan pemantau di lokasi pengundian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pasukan pemantau juga menjalankan aktiviti pemantauan di dalam pusat mengundi secara keseluruhan untuk memastikan pengundi patuh kepada SOP, selain pasukan perubatan yang bertugas di khemah khas mengundi membuat pemeriksaan suhu terhadap pengundi.

Beliau berkata, pengundi yang gagal saringan suhu dan bergejala dibenarkan membuat undian di khemah khas dengan SOP yang ditetapkan.

"Pengundi itu seterusnya diperiksa pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya. Seramai 140 orang anggota kesihatan bertugas di 13 pusat pengundian.

"Syabas diucapkan kepada semua petugas yang menjalankan tugas masing-masing supaya proses pilihan raya ini dapat berjalan dengan selamat. "Syabas juga diucapkan kepada pengundi yang menjalankan tanggungjawab mengundi dengan kepatuhan terhadap normal baharu dan SOP yang ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 6:47 PM