Abdul Majid Mohd Ali (Kanan) dan Ketua JSJ Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman (kiri) menunjukkan gambar individu yang dipercayai terbabit dalam aktiviti perlombongan Bitcoin.
Abdul Majid Mohd Ali (Kanan) dan Ketua JSJ Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman (kiri) menunjukkan gambar individu yang dipercayai terbabit dalam aktiviti perlombongan Bitcoin.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Mahu jadi jutawan hasil kegiatan mencuri bekalan elektrik membabitkan caj jutaan ringgit.

Itu tindakan enam individu termasuk dua beradik yang ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan melakukan penyambungan elektrik haram bagi aktiviti perlombongan mata wang digital Bitcoin.

Kesemua mereka termasuk seorang wanita ditahan dalam dua serbuan berasingan di Taman Sungai Petai Bahagia, Alor Gajah dan di Puchong, Selangor, jam 12 tengah hari Selasa lalu.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, kejayaan itu bermula apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah membuat serbuan di sebuah premis di Taman Sungai Petai Bahagia di sini.

Menurutnya, seramai empat lelaki termasuk seorang lelaki warga Indonesia diberkas.

"Ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek didapati sedang memunggah masuk mesin Bitcoin ke dalam sebuah kenderaan. Premis diserbu itu

disyaki melakukan penyambungan bekalan elektrik secara haram.

"Susulan itu, polis Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) dibantu pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerbu lima lagi premis di sekitar daerah Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah.

"Polis berjaya merampas 317 mesin 'melombong' bitcoin dianggarkan bernilai RM95,100," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, tadi.

Menurutnya, polis kemudian berjaya menahan dalang kegiatan membabitkan pasangan adik beradik di Puchong, Selangor.

Beliau berkata, kumpulan intu dipercayai sudah aktif sejak Februari 2019 dan menggunakan modus operandi menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin di premis tersorok.

"Ekoran kegiatan itu, pihak TNB menanggung kerugian kira- kira RM9 juta. Seorang lagi suspek dipercayai abang kepada pasangan adik beradik itu kini giat diburu polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 5:28 PM