ANGGOTA TNB menyita mesin barangan yang menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin. FOTO Bernama
ANGGOTA TNB menyita mesin barangan yang menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin. FOTO Bernama
BERNAMA

Seremban: Polis menumpaskan sindiket mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin menerusi serbuan di tiga premis rumah kedai di sekitar kawasan Seremban 3 semalam melibatkan nilai rampasan RM528,000.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, operasi bersepadu dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu menyerbu kedai pertama dengan merampas 82 unit mesin perlombongan bitcoin.

"Kedai kedua sebanyak 102 mesin bitcoin dan kedai seterusnya 80 mesin bitcoin dirampas. Selain itu, seorang lelaki ditangkap dipercayai terlibat dalam aktiviti perlombongan bitcoin ini.

"Hanya seorang tangkapan setakat ini, siasatan akan dijalankan bagi mencari siapa dalang di sebalik aktiviti ini, saya percaya dia adalah penjaga premis," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, TNB turut mengalami kerugian sebanyak RM105,000 sebulan akibat aktiviti haram itu yang dilakukan sejak enam hingga tujuh bulan lepas.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 kerana mencuri bekalan elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 4:53 PM