OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa yang hilang dalam tragedi bot terbalik di perairan Kemasin, Bachok diteruskan pagi ini, dengan diperluaskan lokasi pencarian termasuk dibantu pihak berkuasa Thailand.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, lokasi pencarian diperluaskan sehingga 324 radius batu nautika berbanding semalam hanya 162 radius batu nautika.
"Operasi hari ini bermula jam 6 pagi dan kita menggerakkan lima bot dan helikopter. Operasi pencarian akan dilakukan mengikut sektor arus.
"Operasi hari ini turut dibantu pihak berkuasa Thailand. Mereka sanggup menyertai operasi selepas kami meminta bantuan.
"Kita berharap operasi hari ini berjalan lancar dan tiga lagi mangsa dapat ditemui," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam kejadian 8.30 malam kelmarin, bot yang dinaiki 20 individu termasuk pemancing dan awak-awak terbalik akibat ombak besar dan ribut.
Susulan kejadian itu, 12 individu berjaya menyelamatkan diri dan lima individu ditemui meninggal dunia iaitu Wan Aminuddin Wan Hussin, 63; Mohd Syafizam Daud, 43;
Muhammad Zaki Muhamad Nordin, 32; Pok Ta berusia 50-an dan Shafiq Che Alim, 29
Tiga lagi yang masih hilang hilang iaitu Harun Daud, 60; Arman Ismail, 43 dan
Che Wadi Bakar, 40.
Berita berkaitan: